
Pelakon filem "Jangan Pandan Belakang", Julia Ziegler memberitahu dia sebak mengenangkan memori paling tidak boleh dilupakan apabila terpaksa beraya di perantauan kerana menuntut di Amerika Syarikat suatu ketika dahulu.
Pernah menangis ketika Hari Raya pertama, Julia merasakan momen tersebut adalah antara penguat dia untuk menjadi lebih matang di dalam kehidupan.
Ikuti temubual lebih lanjut mengenai persiapan dan juga kenangan raya yang paling tidak boleh dilupakan!
Hari Raya yang bakal menjelang tidak lama lagi, mungkin sudah ada persiapan raya yang Julia sudah sediakan?
Buat masa ini saya cuma sudah ada 3 pasang baju raya, sama seperti Hari Raya yang sebelum ini. Akan menyediakan hanya 3 pasang baju raya termasuk baju yang akan saya pakai untuk menghadiri undangan majlis rumah terbuka nanti. Bagi kuih pula, memang ada perancangan nak buat sendiri tahun ini cuma tak tahulah jika sempat . Jadual bekerja saya sebagai seorang artis tidak menentu.
Beraya di mana tahun ini ?
Saya akan beraya di Kuala Lumpur sahaja. Keluarga saya semua berada di sini. Saya memang teringin mahu balik ke kampung tapi nak buat macam mana kan, kampung saya di Kuala Lumpur.
Mungkin ada kenangan yang paling Julia tidak boleh lupakan ketika menyambut Hari Raya?
(Sambil tergelak) Saya memang tidak dapat lupakan kenangan beraya di perantauan iaitu di Amerika Syarikat dek kerana tuntutan pembelajaran ketika itu. Apabila pagi Raya bila dengar sahaja takbir Raya saya menangis sekuat hati mengenangkan hidup di perantauan jauh dari keluarga yang ketika itu semuanya di Kuala Lumpur. Bayangkan orang di Malaysia pasti meriah ketika merayakan. Selepas itu kami pergi ke komuniti Malaysia yang rata-rata memakai baju tradisional. Di sana hilanglah rasa sebak di hati kerana mereka semua sudah seperti adik beradik.
Rasa nak kembali ataupun lebih suka beraya di Malaysia?
Oh, tidak. Jika keluarga saya ada sekali mungkin saya tidak kisah sangat tapi kalau saya sorang tak kot. Lagipun menyambut Hari Raya di Malaysia memang berlainan. Memang meriah, saya sangat rindukan keadaan dan kemeriahan di malam Raya. Semua sanak saudara berkumpul dan saling bermaafan. Itu antara keunikan yang ada di Malaysia.Tambahan pula, makanan dia, tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Semuanya saya gemari!
Sebelum berakhir, kami nak Julia kongsikan pengalaman berpuasa di negara orang
Sudah pastilah tidak sama dengan di sini. Mereka di sana tidak ramai yang berpuasa namun ada juga rakan saya dari Indonesia yang turut berpuasa. Jadi tidaklah berasa janggal sangat. Apa yang seronok, di sana waktu berbuka adalah lebih awal iaitu sekitar pukul 3- 4 petang. Saya merasakan itu semua pengalaman berharga saya. Saya hargai pengalaman tersebut.
Apa projek terbaru di bulan Ramadan ini?
Buat masa ini saya tidak berlakon cuma ada menjayakan iklan komersial di Singapura. Banyak buat kerja di belakang tabir. Sekarang ini juga saya sudah menjalankan perniagaan butik pakaian secara kecil-kecilan di online. Ada menjual pakaian Hari Raya namun lebih tertumpu kepada penjualan baju kasual.
Terima kasih Julia di atas masa yang diluangkan, selamat menyambut Hari Raya nanti!
Terima kasih , maafkan jika ada salah dan silap kepada semua yang mengenali Julia ya.
