Kada peruntuk RM4 juta setahun bersih lumpur

Kada peruntuk RM4 juta setahun bersih lumpur

Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) memperuntuk RM4 juta setahun untuk membersihkan lumpur di Sungai Kelantan berhampiran rumah pam Kemubu di Kota Baharu.

Pengerusi Kada Datuk Mohd Alwi Che Ahmad berkata hakisan lumpur itu datang dari kawasan Ulu Kelantan akibat pembukaan tanah tidak dirancang dengan teliti terutama pada musim tengkujuh.

"Jika tidak dibersihkan, lumpur akan menghalang aliran air ke pam berkenaan yang akan menyebabkan Kada tidak boleh mengepam air ke sawah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan petani di Kampung Bendang, Berangan di sini.

Pada perjumpaan itu, beliau bersama-sama Pengurus Besar Kada Ibrahim Mat dan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Selising Zulkifli Ali daripada Barisan Nasional (BN) mengadakan dialog dengan 83 petani yang kerugian kira-kira RM2 juta berikutan hasil tanaman padi di kawasan 84 hektar musnah diserang tikus sebelum sempat dituai baru-baru ini.

Mengenai ancaman tikus di kawasan berkenaan, Mohd Alwi berkata ia berpunca dari kawasan sawah yang berdekatan terutama di kawasan Cherang Rotan tidak dapat diusahakan beberapa musim lepas kerana ketiadaan air.

"Ini menyebabkan tikus dari kawasan itu terpaksa bertumpu ke kawasan sawah berkenaan untuk mendapatkan bekalan makanan," katanya.

Beliau berkata Kada akan berusaha mendapatkan bantuan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi meringankan beban petani terbabit untuk mengerjakan tanaman padi musim depan. – Bernama, 19 November, 2013.