Advertisement

Karipap Gergasi Makan Tak Habis


Kuih karipap tentunya antara salah satu kuih masyarakat di Malaysia yang memang digemari ramai.

Ada yang membuatnya sendiri dan paling mudah, keluar rumah membelinya. Apatah lagi di bulan Ramadan di bazar-bazar, anda tidak akan terlepas pandang karipap yang pasti dijual. Kalau berjalan, dalam 5 gerai menjual makanan, pasti satu ada yang menjual karipap.

Bezanya, karipap perlu unik dan bukan sekadar berbentuk bujur dengan dipintal di bahagian atas. Kalau anda ke Bazar Ramadan Seksyen 7, Shah Alam berhampiran pasar raya Mydin, anda akan menjumpai satu gerai menjual karipap yang unik. Nama gerai pun unik, 'Karipap Gedabak'.

Pastinya, saiz karipap yang dijual melebihi penumbuk seorang lelaki yang sasa. Ia dijual pada harga RM2.50 seketul tetapi memang berbaloi. Dua 'brader' yang menjaga gerai ini pun cepat saja melayan permintaan anda meskipun orang ramai beratur.


Terdapat enam perisa dikenalpasti, daging, ayam, sardin dan dua perisa unik iaitu telur campur fillet ikan, piza serta telur campur sosej. Dalam ketiga-tiga menu unik itu ada juga keju yang menyelerakan. Sedap betul menjamah keju yang cair ditambah sosej. Inovasi karipap tahap lima bintang!

Tentulah, rasa karipap tidak pernah sama. Beribu biji karipap yang pernah masuk ke dalam mulut, rasa kulit, inti atau kerangupannya sentiasa berbeza. Ini kerana resipi karipap setiap orang memang berlainan. Air tangan pembuatnya juga memainkan peranan. Kita tidak dapat menduga kesedapan karipap hanya dengan melihat luaran. Itulah yang dapat dirasakan dengan mencuba Karipap Gedabak.

Intinya sedap, kulit tidak keras, tiada rasa tawar atau rasa seperti tepung. Ia kerana karipap yang sedap ialah gabungan sempurna kedua-duanya, inti dan kulit. Kalau inti saja sedap, kulitnya tidak sedap, ia juga tidak menjadi.

Resipi karipap GERGASI itu juga sudah dipelbagaikan demi memenuhi selera pelanggan yang pelbagai bangsa. Di kawasan bazar itu, hanya gerai Karipap Gedabak saja saja yang menjual karipap sebegini dan boleh dikatakan semua orang sudah tahu. Orang luar pun suka singgah membeli maklumlah, ia jalan utama.