SHAH ALAM, 15 Ogos (Bernama) -- Kecuaian pemilik rumah adalah antara
faktor yang menyumbang kepada kes pecah masuk rumah terutama pada musim
perayaan, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd
Bakri Zinin.
Beliau berkata kepulangan warga kota ke kampung halaman memberi peluang
kepada penjenayah termasuk rakyat asing untuk mencari duit poket dengan cara
mudah iaitu memecah masuk ke kediaman mangsa terutama rumah yang mempunyai
sistem kawalan keselamatan lemah.
"Inilah saat yang ditunggu-tunggu oleh penjenayah apabila pemilik rumah
pulang ke kampung untuk menyambut hari raya.
"Keadaan kawasan kediaman yang lengang dan tiada berpenghuni memudahkan lagi
kerja mereka untuk memecah masuk kediaman itu," katanya kepada pemberita selepas
sesi tinjauan mesra di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di
sini.
Beliau berkata bagi mengekang kejadian itu, pemilik rumah perlu memaklumkan
ketiadaan mereka kepada polis dan jiran terdekat selain memastikan rumah
sentiasa dalam keadaan berkunci.
-- LAGI
POLIS-PECAH MASUK 2 SHAH ALAM
Mohd Bakri berkata polis memerlukan kerjasama sepenuhnya daripada penduduk
untuk memudahkan mereka membuat rondaan dan berkawal.
"Pemilik rumah perlu memberi maklumat seperti alamat tempat tinggal dan
tempoh mereka tiada di rumah kepada balai polis terdekat, manakala jiran yang
tidak pulang ke kampung, kami minta segeralah menghubungi polis jika terlihat
orang asing atau keadaan mencurigakan di kawasan kejiranan masing-masing,"
katanya.
Beliau berkata bermula dari Januari hingga Julai tahun ini, statistik Polis
Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes pecah masuk rumah masih terkawal iaitu
kes pecah rumah yang direkod ialah 14,291 kes berbanding yang dicatat dalam
tempoh sama tahun lepas iaitu 18,171 kes.
Statistik ini menunjukkan penurunan kes sebanyak 21.4 peratus, katanya.
Di KUALA LUMPUR, Ketua Trafik Pasukan Datuk Abd Aziz Yusof berkata statistik
Op Selamat akan dikeluarkan setelah operasi itu berakhir pada penghujung bulan
ini.
-- LAGI
POLIS-PECAH MASUK 3 (AKHIR) SHAH ALAM
Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Berbuka puasa Anih Berhad bersama
warga Op Selamat di Plaza Tol Gombak dan sumbangan sempena Aidilfitri turut
diagih kepada kira-kira 4,000 pengguna Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).
Sementara itu, Pengarah Anih Berhad Nik Fauzi Nik Hussain menjangkakan
penggunaan lebuh raya itu meningkat tiga kali ganda sempena musim perayaan ini.
Berikutan itu, pihaknya akan membuka 126 lorong tol yang melibatkan 400
jurutol sebagai langkah mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Selain itu, seramai 140 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela)
ditugaskan pada 17, 18, 25 dan 26 Ogos ini bagi membantu mengawal lalu
lintas.
-- BERNAMA
NMR KNAZ NAK SN

