KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Umat Islam di negara ini meraikan
kedatangan 1 Syawal hari ini dengan penuh kesyukuran atas nikmat keamanan dan
kesejahteraan serta menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid yang turut
disertai oleh para pemimpin negeri masing-masing.
Seperti sebelum ini, sambutan Aidilfitri tahun ini turut dimeriahkan dengan
tradisi penganjuran rumah terbuka oleh para pemimpin serta orang ramai.
Di ALOR SETAR, Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah dan Pengerusi
Jemaah Pemangku Sultan Kedah Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah menyertai
ribuan umat Islam di negeri ini menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid
Zahir.
Turut berangkat ialah anggota jemaah Pemangku Sultan yang lain iaitu Tan Sri
Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah serta Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani
Sultan Badlishah.
Difahamkan, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu''adzam Shah masih
berehat selepas menjalani pembedahan mata kiri bagi membaiki masalah Makula.
-- LAGI
AIDILFITRI-RANGKUMAN 2 KUALA LUMPUR
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara pada 14 Ogos lalu, Yang
di-Pertuan Agong akan berehat sepenuhnya dalam tempoh dua minggu, dan hanya
kerabat diraja terdekat serta pembantu peribadi Tuanku Abdul Halim yang dibenar
melawat sepanjang tempoh itu.
Di ARAU, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Raja
Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan Raja Muda Perlis
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berangkat menunaikan solat sunat
Aidilfitri di Masjid Negeri.
Selepas solat, Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis berkenan menerima
menghadap para pembesar dan rakyat jelata pada majlis ''istana terbuka'' di
Dataran Majlis Istana Arau.
Di KUCHING, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang
Barieng menyertai kira-kira 5,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri
di Masjid Jamek di Petra Jaya.
Turut hadir ialah isteri beliau, Toh Puah Rokiah Abdullah, Ketua Menteri Tan
Sri Abdul Taib Mahmud, Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg,
Menteri Utiliti Awam Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan pemimpin negeri yang
lain.
-- LAGI
AIDILFITRI-RANGKUMAN 3 KUALA LUMPUR
Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob menunaikan solat
sunat Aidilfitri bersama kira-kira 10,000 umat Islam di Masjid Al Azim, Bukit
Palah.
Turut serta menunaikan solat itu ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd
Ali Rustam, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Wira Othman Muhamad,
anggota exco kerajaan negeri serta pegawai kanan kerajaan negeri.
Di KUALA KANGSAR, Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan kerabat diraja
Perak turut menyertai lebih 2,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri
di Masjid Ubudiah.
Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta
anggota-anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri.
Selesai menunaikan solat itu, Raja Nazrin Shah bersalaman dengan rakyat
jelata sebelum menziarahi makam Diraja.
-- LAGI
AIDILFITRI-RANGKUMAN 4 KUALA LUMPUR
Di KOTA BAHARU, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V menunaikan solat sunat
Aidilfitri bersama kira-kira 5,000 rakyat di Masjid Muhammadi.
Turut berangkat Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fa''iz Petra Ismail
Petra, yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu
Kelantan.
Baginda turut bersalaman dengan jemaah masjid selepas menunaikan solat
sebelum berangkat menziarahi Makam Diraja Langgar dan seterusnya menerima
menghadap rakyat di Istana Negeri, Kubang Kerian.
Sementara itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid bersebelahan rumahnya di Kampung
Pulau Melaka.
Di SHAH ALAM, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang diiringi
Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama
kira-kira 35,000 rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dengan
diimamkan oleh Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.
Turut menunaikan solat sunat di masjid negeri itu ialah Menteri Besar
Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan beberapa anggota exco.
-- LAGI
AIDILFITRI-RANGKUMAN 5 KUALA LUMPUR
Di KUALA TERENGGANU, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang
diiringi kerabat diraja dan pemimpin negeri berangkat menunaikan solat sunat
Aidilfitri bersama kira-kira 2,000 orang di Masjid Al-Muktafi Billah Shah,
Ladang.
Selepas menunaikan solat, baginda diiringi Menteri Besar Datuk Seri Ahmad
Said dan kerabat diraja kemudian menziarahi makan diraja di perkarangan masjid
itu.
Di KUALA PILAH, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni
Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar
Mahmud bersama-sama dua anakanda baginda, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain
Al''Abidin menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Diraja Tuanku Munawir Seri
Menanti.
Turut serta ialah Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha
Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan serta kira-kira 400 jemaah yang lain.
Baginda kemudian menziarahi Makam Diraja yang terletak bersebelahan masjid
itu yang menempatkan makam Almarhum Tuanku Ja''afar Tuanku Abdul Rahman dan
ayahanda baginda, Tuanku Munawir.
Di KOTA KINABALU, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin menunaikan
solat sunat Aidilfitri bersama lebih 3,000 rakyat jelata di Masjid Negeri,
Sembulan, diikuti program rumah terbuka di Istana Negeri yang dihadiri oleh
Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan para menteri Kabinet negeri serta
jemputan khas.
-- LAGI
CJ SMS NO AD NBA HNH BD SYA IB AEO RHO NT VMP RV ROS

