Kegagalan sistem pendidikan dorong aktivis ajar kasih sayang kepada murid

Tirai 2013 hampir berlabuh, sepanjang tahun Malaysia menyaksikan pelbagai peristiwa yang menonjolkan watak-watak sama ada memberikan inspirasi ataupun membawa kepada kehancuran. Walaupun sesetengah pihak pesimis dengan masa depan Malaysia disebabkan peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang 2013, masih ada individu atau kumpulan yang melakukan kerja-kerja baik dengan harapan dapat menyumbang kepada perubahan lebih besar. Dalam masa beberapa hari akan datang, The Malaysian Insider akan menyiarkan kisah individu atau kumpulan yang memberikan inspirasi kepada semua. Inspirasi Malaysia 2013 - kisah tentang orang-orang kecil melakukan perkara-perkara besar dengan niat untuk menjadikan Malaysia tempat yang lebih baik buat semua.

Fokus utama TFTN pimpinan Anas adalah pendidikan melalui kasih sayang dan sikap saling membantu tanpa meminggirkan pelajar corot kekal kebelakang. - Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 27 Disember, 2013.
Fokus utama TFTN pimpinan Anas adalah pendidikan melalui kasih sayang dan sikap saling membantu tanpa meminggirkan pelajar corot kekal kebelakang. - Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 27 Disember, 2013.

Di kala kegagalan sistem pendidikan negara yang menyaksikan kejatuhan Malaysia dalam ranking dunia merunsingkan pelbagai pihak, sekumpulan anak muda mengambil inisiatif untuk melakukan sesuatu dengan harapan dapat membantu perubahan.

Letih dan kecewa terhadap sistem pendidikan yang yang lebih mewujudkan rasa persaingan antara pelajar, Anas Alam Faizil, 33, menubuhkan kumpulan sokongan pendidikan digelar "Teach for The Needs", atau lebih dikenali dengan TFTN, pada Mac 2012 bagi menyemai bibit-bibit "kasih sayang" antara pelajar melalui sikap bantu membantu antara mereka.

Anak sulung daripada 10 adik-beradik itu menganggap kanak-kanak di sekolah dan sistem pendidikan sedia ada hanya melahirkan pelajar yang berlumba-lumba mengejar skor, tanpa perasaan sifat tolong-menolong antara satu sama lain, sekaligus menyaksikan kumpulan pelajar corot dan lembap terus ketinggalan daripada alam pendidikan.

“TFTN menyorot ‘Pedagogi Pendidikan Cinta’ sebagai alternatif kepada pedagogi sedia ada untuk menampung evolusi falsafah dan teknik mengajar pada masa hadapan.

"Ada satu sekolah di Kuala Lumpur, satu kelas darjah enam tak boleh membaca, apabila darjah enam tak boleh baca macam mana? Ada masalah dengan sistem pendidikan ini.

"Kami percaya jurang pendidikan akan jadi isu besar, pandai dengan tak pandai. Kalau darjah satu tak pandai, sampai darjah enam kelas tak pandai,” katanya dalam satu temuramah eksklusif bersama The Malaysian Insider di Kuala Lumpur.

Anas yang merupakan pengurus sebuah syarikat swasta itu menambah, fokus utama TFTN adalah pendidikan melalui kasih sayang dan sikap saling membantu tanpa meminggirkan pelajar corot kekal kebelakang.

“TFTN tidak pernah merancang untuk mengambil alih tugas kerajaan tetapi melihat keperluan untuk memberikan sokongan sebagai kuasa ketiga dan menampung jurang sedia ada yang wujud akibat kekurangan daripada sektor kerajaan dan swasta,” katanya yang juga merupakan bekas penuntut di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Menurut Anas, TFTN yang hanya dimulakan dengan 20 guru, dan kini memasuki tahun kedua penubuhannya sudah melaksanakan pelbagai program bagi membantu kanak-kanak dan pelajar yang ketinggalan, termasukah kempen #TFTNMembaca, #TFTNCinta dan #TFTNFikir.

Penubuhan TFTN bermula di laman sosial Facebook dan mereka yang menyertainya terdiri daripada pihak yang sama-sama menyahut seruan untuk membantu memberikan pendidikan percuma terhadap kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

"Ianya tercetus apabila ada kanak-kanak yang tidak mampu menghadiri tuisyen dengan bayaran RM100 setahun, dan kami menawarkan pendidikan percuma, tiga kali seminggu kepada mereka," katanya mengimbau penubuhan badan berkenaan.

Ditanya sumber dana yang diperolehi mereka untuk menggerakkan aktiviti TFTN, dengan tersenyum Anas berkata, mereka tidak mempunyai pembiaya, sebaliknya atas dasar kemanusiaan dan sukarela, mereka menggunakan kaedah penganjuran makan malam pengumpulan dana, "car booth sale", dan juga jualan produk-produk TFTN seperti lencana dan sebagainya.

"Kami bergerak dengan kos minimum. Pejabat kami hanya di Facebook. Segala perbincangan dijalankan di Facebook atau melalui aplikasi dalam telefon bimbit seperti Whatsapp dan sebagainya," katanya, dan menambah sokongan yang tinggi diterima kumpulan berkenaan di rumah anak-anak yatim.

"Kami kini telah mempunyai cawangan di 12 rumah anak-anak yatim."

TFTN kini jelasnya didokong oleh 800 sukarelawan berdaftar, dengan 300 mahasiswa, dan 60 guru bergerak tanpa sebarang bantuan daripada kerajaan, ke seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

"Kami tidak melibatkan mana-mana pembiaya tetap tetap kerana tidak mahu aktiviti kami dikawal mereka," katanya, dan menambah, TFTN tidak pernah menolak sekiranya kerajaan berhajat mengadakan perbincangan dengan mereka.

"Namun kami pernah dipanggil untuk perbincangan, dan sesi meja bulat dengan pihak kerajaan," katanya yang kini sedang melanjutkan pengajian sarjana kedoktoran.

Antara rancangan jangka panjang yang kini dirangka TFTN, jelas Anas, adalah "bedah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025" yang dilancarkan Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kita juga mengadakan program jelajah universiti dan mencari kaedah pembelajaran yang terbaik," katanya lagi.

Selain TFTN, Anas yang berasal dari Kuala Lumpur juga terlibat aktif dalam kegiatan aktivis seperti kumpulan NGO Bantah TPPA (Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik) dan juga kumpulan pemikir "Blindspot". - 27 Disember, 2013.