Kekalkan kuasa Melayu-Islam antara sebab PAS perlu tinggalkan Pakatan, kata Isma

Kekalkan kuasa Melayu-Islam antara sebab PAS perlu tinggalkan Pakatan, kata Isma

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) hari ini menggariskan 10 sebab mengapa PAS perlu meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) selepas wujud cadangan daripada pemimpin parti Islam itu untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden Isma Aminuddin Yahya berkata apa yang dilontarkan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki adalah wakil kepada suara hati ramai pemimpin dan ahli parti itu yang selama ini gelisah dengan tindak-tanduk parti kompenen PR lain, tetapi tidak berani bersuara.

“Saya menggariskan mengapa PAS harus meninggalkan PR; mengekalkan penguasaan Melayu Islam di negara ini yang sangat kritikal ketika pihak musuh berusaha menghancurkan agama Islam dan bangsa Melayu.

“Agenda PAS banyak diseleweng oleh pihak yang berkepentingan dalam parti tersebut. Jika PAS keluar PR, maka mereka akan berjaya kembalikan perjuangan asal seperti yang dipelopori oleh pimpinan awal ke arah mendaulatkan Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zuhdi dalam satu perbualan tertutup berkumpulan menggunakan WhatsApp memberikan senario bagaimana jika PAS mengambil keputusan untuk meninggalkan PR di Selangor.

"Kalau kita keluar PR kita boleh retain Selangor malah untuk seterusnya. Kita 15 kerusi + TSKI + seorang lagi Adun PKR + 12 Umno, sudah bentuk simple majoriti. Umno dalam kenyataannya mutakhir ini boleh terima TSKI jadi MB.

"Lepas ini kalau DAP, gereja dan non Muslim melalak isu serban, kalimah Allah, kita boleh jentik saja mereka," tulis Zuhdi melalui perbualan tertutup tersebut.

Aminuddin berkata jika PAS meninggalkan PR, institusi ulama juga dapat diperkasakan selepas terdapat segelintir pemimpin dalam parti itu memperlekehkan kelompok tersebut.

Katanya, kekeliruan rakyat selama ini juga dapat diperjelaskan kerana ada golongan tertentu yang mempertikaikan hala tuju PAS bekerjasama dengan DAP.

“Ia mampu menghentikan serangan oleh musuh Islam yang mengambil kesempatan keterlibatan PAS dalam PR yang dilihat terlalu bertoleransi dengan musuh Islam.

“Rakyat yang cintakan Islam keliru dengan sikap PAS yang dilihat menyokong tindakan musuh Islam atas nama ‘Rahmatan Lil Alamin’,” katanya.

Beliau turut melihat sokongan pengundi Melayu akan kembali kepada PAS jika meninggalkan PR kerana parti Islam itu dilihat ‘tewas’ dalam pertarungan politik dengan DAP.

Katanya, dengan meninggalkan PR, agenda PAS untuk menegakkan Islam akan terlaksana selepas parti Islam itu dilihat diperkudakan individu mementingkan kuasa dan harta.

“Sokongan pengundi Melayu yang ingin kepada perubahan akan kembali kepada PAS kerana mereka sudah tidak yakin dengan kepimpinan Umno.

“Dakwaan DAP yang mengatakan PAS akan kehilangan lebih banyak kerusi kerana kehilangan undi Cina jika keluar PR adalah satu dakwaan mengugut dan penghinaan.

“Tahaluf PAS dengan DAP adalah satu tahaluf yang boleh dipertikaikan dari segi syarak kerana ia banyak merugikan Islam baik dari segi kefahaman mahupun pelaksanaan,” katanya. – 1 Ogos, 2014.