Oleh Syed Jaymal Zahiid
KUALA LUMPUR, Jan 16 — Keluarga mendiang Chang Chin Te yang meninggal dunia dalam tahanan polis pada Isnin lalu meminta Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Ismail Omar untuk campur tangan dan membenarkan bedah siasat kedua untuk dijalankan.
Exco kerajaan negeri Selangor Ronnie Liu memberitahu sepucuk surat sudah dihantar ke Bukit Aman pagi ini menerusi peguam Gobind Singh Deo dan R Sivarasa yang akan mewakili keluarga si mangsa.
Pemimpin DAP Liu berharap KPN dalam memberikan maklum balas dengan segera.
“Kami mahukan maklum balas seera daripada KPN. Kami mengesyaki punca kepada kematian tersebut adalah kematian,” beritahu beliau kepada The Malaysian Insider.
Liu (gambar) juga berkata Pemuda Sosialis DAP Selangor akan mengadakan protes mini dihadapan Bukit Aman pada 1 petang ini bersama-sama dengan bapa mendiang, Chang Chan Man.
Chang, 64, berkata semalam beliau sedih dengan pemergian anak bongsunya tersebut Chang Chin Te, yang meninggalkan seorang isteri dan empat anak yang masih kecil.
Sementara itu, Liu mendedahkan hari ini bahawa pihak hospital bersetuju untuk menempatkan mendiang di rumah mayat adalah kerana berdasarkan “sifat kemanusiaan” ekoran masih tertangguh keputusan terhadap permohonan untuk bedah siasat kali kedua.
Mangsa telah ditahan pada Khamis lalu sekitar jam 12 malam oleh sekumpulan pasukan polis di rumahnya dan dibawa ke balai polis untuk membantu satu siasatan melibatkan satu kes pecah rumah.
“Anak saya telah ditahan pada Khamis lalu dan selepas empat hari seorang pegawai polis telah datang ke rumah dan memaklumkan tentang kematian anak saya tersebut,” kata Chang.
“Mereka (polis) telah memberitahu bahawa anak saya adalah suspek dalam satu kes pecah rumah.”
Sejak ditahan pada Khamis, pihak polis langsung tidak memaklumkan sebarang maklumat mengenai keadaan mangsa dan tindakan yang akan diambil tetapi hanya memaklumkan kepada keluarga mangsa tentang kematiannya.
Mangsa telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan polis hanya memaklumkan kepada isterinya untuk menuntut mayat mendiang tanpa memberi sebarang alasan punca kematian.
“Selepas polis memberitahu kepada isterinya, mereka mengarahkan beliau ke PPUM bagi menuntut mayat mendiang.
“Isterinya dan saya cuba bertanyakan apakah sebab kematian, tetapi pihak polis tidak memberikan sebarang jawapan,” kata Chang lagi.
Sebaik tiba di hospital, isteri mendiang Lim Wei Ni, 28, terkejut melihat keadaan badan suaminya yang penuh dengan kesan luka dan lebam serta bengkak di muka dan dadanya yang mengecut.
“Kami sangat terkejut melihat keadaan badan mangsa, banyak luka dan lebam,” kata bapa mendiang lagi.
Kematian dalam tahanan bukan perkara yang baru melibatkan agensi penguatkuasa di dalam negara, malahan sebelum ini Putrajaya juga sering dikritik kerana tidak bertanggungjawab dan bersikap lepas tangan dalam mengendalikan kes-kes tersebut.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa kes kematian dalam tahanan yang menyebabkan Putrajaya menerima tekanan hebat daripada orang awam antaranya kes melibatkan kematian A Kugan dalam tahanan polis dan dua kematian di bawah tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbaini Mohamed.


