LONDON, 11 Ogos (Bernama) -- Harapan Malaysia untuk menambah pungutan
pingat pada Sukan Olimpik 2012 terus tenggelam di Pusat Akuatik apabila Bryan
Nickson Lomas gagal ke peringkat separuh akhir acara 10m platform individu
lelaki, awal hari ini.
Jaguh terjun negara berusia 22 tahun itu sekadar menduduki tempat ke-19
daripada 32 penerjun dengan mengumpul 434.95 mata daripada enam terjunan, jauh
ketinggalan dengan dua pendahulu Qiu Bo dan Lin Yue dari China.
Hanya 18 penerjun terbaik layak ke peringkat separuh akhir esok.
Kegagalan anak muda dari Sarawak itu tidak membantu kedudukan Malaysia dalam
senarai pungutan pingat dengan terikat kedudukan tangga ke-57, hanya dua hari
sebelum sukan terbesar dunia itu melabuhkan tirainya.
Malaysia, dengan sebutir perak menerusi jaguh badminton negara Datuk Lee
Chong Wei dan gangsa oleh ratu terjun negara Pandelela Rinong dalam acara 10m
platform wanita, kini terikat dengan Bulgaria, Estonia, Indonesia, Serbia,
Thailand dan Taiwan.
-- LAGI
OLIMPIK-MALAYSIA (RANGKUMAN) 2 (AKHIR) LONDON
Malaysia menyamai pencapaian edisi 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat,
apabila beregu badminton Cheah Soin Kit/Yap Kim Hock memperoleh pingat perak dan
gangsa oleh Rashid Sidek menerusi acara badminton perseorangan lelaki.
Amerika Syarikat terus mengungguli kedudukan pungutan pingat dengan 41 emas
diikuti China di tangga kedua dengan 39 emas manakala tuan rumah, Great Britain
menghuni tangga ketiga dengan 26 emas.
-- BERNAMA
ZAS ZAS DC

