Kesedaran kami orang yang datang – Amirrul Jeffery Igai

Kami sedar siapa kami, dahulunya kami datang ke tempat anda sebagai buruh asing untuk bekerja di kawasan perlombongan bijih timah, estet-estet getah dan kawasan pertanian ladang.

Kami sedar, mengenali tempat anda sebagai salah satu pusat perdagangan yang penting suatu masa dahulu, ini mendorong kami untuk berhijrah ke tempat anda.

Malah, orang- orang yang lama menetap di sini tidak menentang kedatangan kami ke sini. Mereka tidak kisah pun.

Kami datang ke tempat anda tanpa tanah sengkangkang kera, dengan keadaan yang papa kedana, miskin, kelaparan dan kurus kering.

Kami datang ke sini bukan bertujuan untuk merembat tanah pamah, dan merebut laba ekonomi.

Tapi kami menjenguk tempat anda demi sesuap nasi untuk mengalas perut yang kebuluran untuk kami dan anak-anak kami dan mengubah nasib kami kearah yang lebih baik.

Ya, kami mengaku kami orang yang datang.

Datang ke tempat anda membanting tulang empat kerat, memeras keringat siang dan malam.

Kami dikumpulkan Kheh-thau (Ketua) untuk dihantar ke tempat anda dan bekerja melombong bijih timah, sebagai pedagang, bekerja estet getah memandangkan menurut sumber yang sahih, orang yang lama menetap di sini lebih berminat untuk bercucuk tanam.

Itu kejadian yang berlaku sebelum tempat yang anda sebut sebagai rumah anda merdeka sebelum tahun 1957.

Tapi sekarang sudah merdeka, kami diiktiraf sebagai warganegara, sekarang sudah tahun 2014.

Sahaja kami mahu mengimbas sejarah lalu supaya kami tahu di mana kaki ini dipijak dan dimana langit itu dijunjung.

Selepas merdeka, dan diiktiraf sebagai warganegara di tempat anda bermakna kami bukan lagi pendatang.

Kami mendapat status baru sebagai warganegara di tempat anda.

Bermakna tempat anda adalah tempat kami, maksudnya negara anda juga negara kami.

Kita sama dan setara, sama dalam konteks ini ialah kita memegang kewarganegaraan yang sama.

Kami juga menjunjung tinggi perlembagaan persekutuan dan kontrak sosial yang dipersetujui pemimpin kami dan pemimpin anda yang terdahulu.

Kami tidak meminta lebih daripada apa yang sepatutnya. Kami tidak mengharap diberikan hak istimewa. Kami juga tidak meminta kesamarataan.

Diberi kewarganegaraan pemimpin anda adalah suatu rahmat dari Tuhan. Itu sudah memadai.

Apa yang kami mahu ialah layanan baik, keharmonian, tolak ansur, saling hormat menghormati dan tiada diskriminasi.

Sekarang situasinya bagaimana?

Kalau ada yang mengatakan kami cuba untuk mecuri tanah dan kek ekonomi anda, bermakna anda ditipu.

Sesunguhnya kami difitnah di dalam gelap.

Cuba dituduh sebagai perampas.

Semua itu tidak betul.

Cuma yang betul hanyalah pemimpin anda dan orang anda menjual tanah kepada kami, kami sedar kami tiada tanah di sini, tiada juga tanah di kampung.

Bermakna kami terpaksa membeli tanah untuk jaminan masa depan.

Pemimpin anda dan orang anda menjual, kami harus membeli dengan apa jua cara sekalipun.

Salahkan orang yang menjual, bukan menyalahkan orang yang membeli.

Bermaksud kami bukan merampas atau mencuri.

Sejak dari datuk nenek moyang kami dahulu kami berniaga, ianya tmenjadi pekerjaan turun temurun, pekerjaan yang diwarisi.

Apabila kami berjaya, kami cuba untuk membantu yang lain. Kami berjaya barangkali menurut arahan Feng-Shui.

Berlainan dengan segelintir warganegara yang lain, kami lihat apabila sekerat dua orang anda berjaya berniaga, orang tersebut didengki, disakiti dan dituduh mengamalkan ubat pelaris dari tok bomoh dan pawang Lagi teruk apabila ada orang anda yang disantau perniagaannya orang anda sendiri.

Kami berfikir, kalau begini caranya, bagaimana mahu berjaya berniaga?

Kami dikatakan sangat marah apabila digelar 'pendatang' dan tidak mahu menguasai bahasa kebangsaan.

Bukan begitu, Kami difitnah tidak pandai berbahasa Malaysia, berita ini berita tipu.

Berita ini berita seram.

Kami bukan tidak pandai berbahasa Malaysia langsung, tapi kami pandai berbahasa Malaysia sikit-sikit, ada juga segelintir yang lain pandai berbahasa banyak-banyak.

Kami juga lihat penutur asal bahasa Malaysia ada yang pandai sikit-sikit dan pandai banyak-banyak.

Ada juga pandai berbahasa rojak, barangkali sedikit masa lagi akan ada timbul bahasa cendol.

Apakah penutur asal yang merojakan bahasa ini boleh dikira sebagai tidak pandai berbahasa Malaysia?

Sekolah kami mahu dicadang dihentikan pembinaannya, dan dihapuskan.

Kami minta dengan jasa baik, jangan begitu, sekarang sekolah kami bukan lagi milik kami, sekolah kami kini milik kami, anda dan semua orang.

Meruntuhkan sekolah kami bermakna meruntuhkan sekolah anda. Bukankah itu tidak betul?

Ingin kami bertanya kepada pemerintah, bagaimana dengan warga asing di Sabah yang diberi kad pengenalan segera bertujuan untuk mengundi di pilihanraya umum, adakah mereka boleh dipanggil pendatang?

Atau diktiraf terus menjadi peribumi Sabah? – 21 Oktober, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.