Khalid Ibrahim setuju jadi penasihat ekonomi Selangor, PAS belum sokong Anwar MB

PKR sets Friday for Khalid disciplinary hearing on 6 issues

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) dikatakan sudah bersetuju untuk mengambil alih jawatan penasihat ekonomi Selangor selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menggantikannya sebagai menteri besar, kata sumber PKR.

The Malaysian Insider difahamkan, dalam satu pertemuan bersama Anwar dan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada hujung minggu, Abdul Khalid dikatakan sudah bersetuju dengan cadangan agar beliau dan ketua pembangkang itu bertukar jawatan demi kestabilan parti dan Pakatan Rakyat (PR) secara keseluruhannya.

"Apabila Wan Azizah membuka mulut dan meminta Khalid lepaskan jawatan menteri besar, Khalid tahu masanya sudah sampai untuk dia berundur," kata sumber itu merujuk kepada presiden PKR yang menjadi pembela Abdul Khalid dalam parti itu selama ini.

"Walaupun Anwar menjadi MB, Khalid masih boleh memainkan peranan besar sebagai penasihat ekonomi," kata sumber yang dekat dengan kumpulan Anwar dengan syarat namanya dirahsiakan.

Dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya semalam, Abdul Khalid mengumumkan sendiri Anwar akan menjadi calon parti itu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang selepas dikosongkan pada Isnin oleh Lee Chin Cheh.

"PKR dan PR setuju meletakkan calon Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding di Kajang," kata Abdul Khalid yang duduk di sebelah Anwar semalam sambil diapit Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

Di kalangan parti komponen PR, langkah Anwar untuk turun ke Selangor bagi menyelesaikan ketegangan di antara Abdul Khalid dan Pengerusi PKR Selangor Mohamed Azmin Ali mendapat sokongan penuh DAP akan tetapi tidak sepenuhnya daripada PAS, kata satu sumber daripada parti Islam itu.

Sumber memberitahu, ini kerana Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri masih mahu Abdul Khalid kekal menerajui Selangor dan tidak bersetuju dengan cadangan Anwar mengepalai negeri terkaya di Malaysia itu.

"Anwar mahu bertemu Haji Hadi pada Isnin, akan tetapi presiden PAS menolaknya. Sebaliknya, Haji Hadi bersama Datuk Mustafa Ali bertemu dengan Khalid Ibrahim," kata sumber itu merujuk kepada pertemuan di antara Abdul Hadi, setiausaha agung PAS dan menteri besar Selangor.

Katanya, oleh kerana Anwar masih belum berjaya mendapatkan sokongan penuh PAS, ahli Parlimen Permatang Pauh itu terpaksa berusaha keras ke arah itu.

"Sebab itu Anwar terpaksa mengadakan sidang akhbar bersama Mat Sabu petang ini," kata sumber itulagi merujuk kepada Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan sidang akhbar kedua-dua pemimpin itu di Petaling Jaya sebentar lagi.

Dalam satu kenyataan awal pagi ini, Pengerusi DAP Selangor Tony Pua menyatakan sokongan penuh terhadap pemilihan Anwar sebagai calon bagi kerusi DUN Kajang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan tidak lama lagi.

"DAP Selangor akan memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada rakan kami PKR untuk memastikan kemenangan besar Pakatan Rakyat dan Selangor yang lebih kuat," kata ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.

"Jika kemasukan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam Pakatan Selangor boleh membantu mengangkat kami ke tahap lebih tinggi, Selangor akan menjadi role model kepada negeri lain."

Kenyataan Pua itu dilihat sebagai respons kepada kenyataan PAS Selangor yang mahu Abdul Khalid terus kekal memimpin negeri terkaya itu.

Menurut Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairudin Othman, parti Islam itu tidak bersetuju sekiranya Anwar menggantikan Abdul Khalid.

"Ini termasuk menamakan Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad sebagai calon utama kita," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Jaras itu dalam satu kenyataan semalam.

Selepas pilihan raya 5 Mei lalu, PKR berjaya mendapat 14 kerusi DUN berbanding DAP dan PAS yang masing-masing mendapat 15 daripada jumlah keseluruhan 56 kerusi.

Dalam erti kata lain, tanpa sokongan DAP, PAS tidak akan dapat kerusi menteri besar Selangor. – 29 Januari, 2014.