Kit Siang pemimpin Pakatan pertama melawat keluarga mangsa‎ pesawat hilang

Penasihat DAP, Lim Kit Siang menjadi pemimpin pembangkang pertama yang datang melawat keluarga mangsa penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan anak kapal di Hotel Everly, Putrajaya‎ sebentar tadi.

Beliau yang hadir bersama bekas exco Selangor, Ronnie Liu berkata kehadirannya atas dasar prihatin terhadap nasib keluarga mangsa ‎pesawat MAS yang membawa sebanyak 237 penumpang dan anak kapal.

Bagaimanapun beliau enggan memberi komen lanjut apabila ditanya pemberita.

Sebelum ini, Lim hadir di lokasi sidang media rasmi pihak berkuasa di Hotel Sama-Sama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Selain itu, antara pemimpin yang kelihatan di lokasi tersebut ialah Setiausaha Pengelola DAP, Loke Siew Fook.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata, perkara paling penting kini selain menghulurkan bantuan kemudahan pihak berkuasa juga perlu memberi kepastian kepada kesemua keluarga mangsa.

"Saya masih tidak dapat memberi sebarang komen kerana kita hanya tahu perkembangan melalui laporan media dan sekarang pun bukan semua keluarga mangsa ada di sini.

“Yang paling penting ialah pihak berkuasa perlu memberikan kepastian bantuan kemudahan itu. Sekarang ini semua tertanya-tanya apakah sebenarnya yang berlaku," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata bagi pihak DAP lawatan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa begitu juga dengan pertanyaan mengenai kesemua penumpang dan anak kapal pesawat MH370 kepada pihak berkuasa.

Hotel Everly yang menempatkan lebih 100 keluarga mangsa kehilangan pesawat Malaysia Airlines menerima kunjungan di kalangan pemimpin sejak pagi tadi.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir untuk memberikan sokongan moral kepada anggota keluarga penumpang pesawat tersebut.

Beliau tiba di sini kira-kira pukul 12.45 tengah hari dengan diiringi bersama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun yang juga Naib Ketua Wanita Umno dan Ketua Penerangan Wanita Umno Datuk Rosni Zahari.

Selain itu, Menteri Pertanian dan Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri mengarahkan kementeriannya menghantar bekalan makanan untuk diberi kepada keluarga mangsa. – 9 Mac, 2014.