KUALA KUBU BAHARU, 8 Sept (Bernama) -- Menteri Kemajuan Luar Bandar dan
Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berharap kementerian itu tidak dilupakan
dalam pengagihan peruntukan kewangan untuk tahun depan.
Beliau berkata masih banyak kampung-kampung yang memerlukan bantuan terutama
dari aspek kemudahan asas termasuk bekalan air dan elektrik.
Katanya peruntukan yang disalurkan kepada kementerian untuk dibelanjakan
tahun ini telah diguna sebaik mungkin.
"Rumah-rumah yang kita bina bukan rekaan. Jalan raya pula kita diminta bina
sepanjang 3,000km (bagi tempoh 2010-2012), tetapi sehingga Julai ini kita sudah
siapkan 2,765km," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan
serentak Wanita Umno dan perwakilan Bahagian Hulu Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas harapan kementeriannya untuk
Belanjawan 2013 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak pada 28 Sept ini.
-- LAGI
SHAFIE-PERUNTUKAN 2 (AKHIR) KUALA KUBU BAHARU
Pada Belanjawan 2012, kementerian itu menerima peruntukan besar berjumlah
RM5 bilion untuk pembangunan infrastruktur asas luar bandar.
Mohd Shafie berkata walaupun kemajuan yang dibawa itu tidak kesemuanya
dapat dilihat, namun apa yang penting adalah rakyat dapat menikmati segala
kemudahan tersebut.
Tambahnya, kementerian tidak hanya melihat kepada pembangunan infrastruktur
tetapi turut menitikberatkan pembangunan modal insan termasuk aspek pendidikan
dari awal usia kanak-kanak.
"Saya yakin Perdana Menteri mengambil perhatian tentang keperluan dan
keupayaan masyarakat luar bandar.
Mengenai Pelan Transformasi Pendidikan yang akan dilancarkan Selasa ini,
Mohd Shafie berharap kerajaan akan memastikan kemudahan sedia ada diguna sebaik
mungkin agar pelajar luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak merasai
kesannya.
-- BERNAMA
NAN AKT KLS

