Kolum Dr Asri: Puasa mendidik keikhlasan jiwa

Penyakit yang terbesar dalam jiwa insan ialah hati nurani yang tidak ikhlas dengan perbuatannya. Dalam dunia yang penuh kepura-puraan, tujuan asal perbuatan seseorang sering tidak sama dengan apa yang zahir dari tindakannya. Jika dia bersedekah, zahirnya dia ingin membantu mereka yang keperluan, tetapi di sudut jantung hatinya kadang-kala dia inginkan pujian ataupun balasan tertentu. Jika dia seorang pemimpin, maka keadaan itu lebih buruk apabila amalan baik seperti derma dan pemberian itu mempunyai hasrat yang tersembunyi seperti mengharapkan undi ataupun sokongan. Hasilnya, hubungan jiwanya dengan Allah yang mensyariatkan amalan yang baik itu terputus. Ia kemudiannya boleh bertukar menjadi satu penyakit jiwa yang parah jika hasrat yang diingini iaitu pujian ataupun sokongan manusia itu gagal diperolehi. Di sebalik itu, ia juga menjadi kerugian besar kepada dirinya kerana amalan yang baik itu yang kadang-kala memerlukan usaha yang kuat seperti amalan derma, tidak memperolehi ganjaran pahala di sisi Allah pada Hari Akhirat kelak.

                                                                Riyak

Oleh kerana itu ikhlas amatlah penting dalam setiap amalan. Bahkan ia menjadi penentu utama sesuatu amalan itu diterima ataupun ditolak di sisi Tuhan. Tanpa ikhlas, manusia akan memanipulasikan amalan baik dengan tujuan yang tidak baik. Bahkan betapa banyak orang yang menzahir keikhlasan, ketaqwaan dan kezuhudan tetapi mereka sebenarnya tidak ikhlas, tiada taqwa dan tidak bertujuan zuhud. Apa yang tersemat dalam jantung hati mereka tidak sama dengan apa yang mereka zahirkan. Sehingga sesetengah golongan sufi yang berpakaian selekeh untuk menzahirkan sifat zuhud tetapi itu sebenarnya untuk menunjuk-nunjuk. Inilah yang dikritik oleh al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 597H) dengan menyatakan: “Di kalangan golongan zuhhad (golongan sufi) ada mereka yang memakai baju yang koyak tidak dijahit dan membiarkan serban dan janggutnya tidak berurus untuk menunjukkan dia tidak mementing dunia. Ini sebahagian dari riyak (menunjuk-nunjuk)”. (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 179-180, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).

Justeru itu, Islam memberikan pelbagai peringatan agar insan jujur dengan amalan baiknya. Firman Allah (maksudnya): "Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan yang demikian itulah agama yang benar" (Surah al-Baiyyinah: 5). 

Islam juga mengingatkan bahawa ketidak ikhlasan adalah sejenis syirik yang tersembunyi. Sedangkan syirik itu adalah dosa yang paling besar dalam agama. Jika sampai mempersekutukan kebesaran Allah, boleh merosakkan akidah seseorang muslim. Nabi s.a.w  menyebut: “Syirik yang tersembunyi itu ialah apabila seseorang beramal untuk dilihat oleh orang lain” (riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis hasan).

                                                                        Penawar

Untuk mengubati penyakit jiwa ini, maka Allah mensyariatkan pelbagai penawar. Antara penawar yang paling hebat ialah puasa. Ini kerana amalan puasa sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mata. Ia bukan satu perbuatan yang dapat dikesan melalui pergerakan insan seperti solat, sedekah dan selainnya. Seseorang mungkin bersolat ataupun bersedekah ataupun selainnya dengan kelihatan penuh ikhlas, tetapi tidak. Sedangkan puasa pula satu amalan tanpa satu pergerakan khusus, di mana seseorang menahan diri dari makan, minum dan perbuatan yang membatalkan puasa. Ia tidak kelihatan di mata manusia. Ramai orang kita lihat tidak makan di hadapan kita, tetapi itu bukan semestinya menunjukkan dia berpuasa. Kita tidak tahu seseorang itu berpuasa ataupun tidak, melainkan jika dia sendiri yang memberitahu. Kita juga tidak tahu apakah dia bercakap benar ataupun bohong bahawa dia berpuasa. Seseorang mungkin boleh menyatakan dia berpuasa tetapi sebenarnya dia tidak berpuasa. Dia mungkin makan, minum secara sembunyi. Hanya Allah Yang Maha Tahu.

Justeru, tiada siapa pun tahu apakah seseorang itu benar-benar berpuasa dengan segala kepatuhannya melainkan Allah sahaja. Mungkin kita sangka seseorang tidak berpuasa dilihat pada zahir tenaganya, tetapi dia sedang berpuasa dengan penuh kepatuhan. Mungkin seseorang yang lain datang berbuka puasa bersama kita, sedangkan dia tadi makan secara sembunyian. Ternyata, tiada siapa yang boleh menilai puasa seseorang melainkan Allah. Untuk itu Allah berfirman dalam hadis qudsi: “Semua amalan anak Adam untuknya, melainkan puasa. Ianya untuk-Ku dan hanya Aku yang membalasnya” (Riwayat al-Bukhari).

Inilah antara hikmah besar berpuasa. Ia mendidik ikhlas. Jangan hairan jika ada orang yang jahat perangai lagi enggan berubah, tetapi memberitahu kita dia berpuasa. Kita tidak tahu dia berpuasa ataupun tidak. Setiap orang boleh mendakwa. Sukar untuk kita nilai dakwaannya. Hanya Allah Yang Maha Tahu. Namun, jika seseorang itu benar-benar berpuasa kerana Allah, itu adalah gambaran kepada keikhlasan yang ada dalam hidupnya. Jika dia boleh berdisiplin dengan puasanya, ertinya perasaan takutkan Allah itu ada dalam jiwanya. Puasa yang ikhlas akan melahirkan manusia yang ikhlas dalam kehidupannya.