SEPANG, 8 Sept (Bernama) -- Parti komponen Barisan Nasional (BN) juga boleh
mencontohi Umno dalam mengambil tindakan tegas menyingkirkan mana-mana anggota
atau pemimpin yang mensabotaj parti dalam pilihan raya umum.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pendirian
tegas itu penting bagi memastikan setiap anggota dalam BN jujur dan ikhlas serta
membolehkan BN terus memerintah negara ini.
"Kalau Umno boleh buat pendirian sebegitu rupa tidak ada sebab parti-parti
komponen lain tidak berpegang kepada prinsip yang sama.
"Tapi itu semua bergantung kepada mereka untuk memutuskannya kerana kami
tidak boleh membuat keputusan untuk parti lain...tapi saya percaya prinsip dan
nilai yang sama diamal parti komponen lain kerana kita tidak mahu ada anggota
yang tidak setia," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan persidangan
perwakilan Umno Bahagian Sepang, di sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin
selepas merasmikan persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno
Bahagian Pagoh, hari ini berkata mana-mana anggota atau pemimpin Umno yang
didapati bertindak mensabotaj calon pada pilihan raya umum akan disingkir
daripada parti.
-- LAGI
HISHAMMUDDIN-SABOTAJ 2 (AKHIR) SEPANG
Hishammuddin yang menyokong penuh saranan itu, berkata langkah itu amat
penting dalam situasi negara akan menghadapi pilihan raya umum ke-13 bagi
memastikan tidak ada anggota dalam parti yang bertalam dua muka dan berkompromi
dengan parti pembangkang.
"Kita kena tahu siapa mereka yang sebenarnya betul-betul ikhlas dengan kita.
Percayalah kita perhatikan semua. Jadi mereka yang kata bersama-sama kita,
pastikan bukan sahaja di luar menunjukkan sokongan tetapi betul-betul ikhlas.
"Ia bukan berkisar pada ahli-ahli Umno sahaja, kita nak tahu siapa kawan dan
lawan dalam BN, kita nak tengok siapa yang ikhlas dan jujur dalam usaha kita
menerokai ekonomi negara, dalam agenda yang lebih besar," katanya.
Menyentuh tindakan sekumpulan individu yang menghina pemimpin negara pada
sambutan ambang merdeka 30 Ogos lepas, Hishammuddin yang juga Menteri Dalam
Negeri berkata walaupun individu itu memohon maaf kepada seluruh rakyat
Malaysia, tindakan undang-undang tetap dikenakan.
"Mereka tertakluk kepada undang-undang negara. Bermakna minta maaf pun
mereka tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang yang ada.
"Ini hasil kebangkitan kesedaran rakyat itu sendiri di mana kepentingan awam
telah menentukan budaya sebegini mesti ditolak dan tindakan mesti diambil,"
katanya.
-- BERNAMA
GK GK SN


