KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Koperasi Muslimin Malaysia Berhad (KMMB) hari
ini mengumumkan prestasi kutipan hutang yang lebih baik pada tahun ini,
berbanding tahun 2010. Setakat bulan November 2011, sejumlah RM2.954 juta hutang
tertunggak (NPF) berjaya dikutip, berbanding hanya RM2.273 juta sahaja kutipan
untuk tempoh yang sama pada tahun lalu.
Peningkatan hampir 30% itu adalah sejajar dengan Strategi Kedua dalam Rancangan
Perniagaan KMMB tahun 2011 iaitu Memperkasakan Struktur Perniagaan Koperasi
Dengan Penjanaan Pendapatan Melebihi RM8 juta.
Di dalam Strategi tersebut, antara Plan Tindakan yang dilaksanakan adalah
Meningkatkan Kutipan Hutang dan Kawalan Kredit. Melalui Plan Tindakan ini,
pelbagai inisiatif telah dirancang dan dilaksanakan oleh pihak Pengurusan KMMB,
bermula dengan memperkasakan Unit Kawalan Kredit di Jabatan Kewangan KMMB.
Unit Kawalan Kredit yang terdiri daripada empat orang petugas, diketuai oleh En.
Abdul Latif Malek telah mengambil pendekatan berhemah dalam menangani para
penghutang tegar. Ada yang mempunyai tunggakan bayaran balik melebihi 48 bulan,
dan enggan menjawab apabila dihubungi oleh petugas kawalan kredit.
Antara langkah yang diambil adalah dengan menghantar peringatan berterusan
menerusi khidmat Sistem Mesej Singkat (SMS), panggilan telefon selain notis
peringatan. “Kami juga menggunakan khidmat agen kutipan luar yang nyata memiliki
data-base pelanggan yang lebih luas demi menjejakki anggota yang telah berpindah
atau bertukar alamat tanpa memaklumkan kepada koperasi”, kata petugas di unit
tersebut.
Hanya penghutang yang benar-benar tegar, setelah diberi notis peringatan dan
panggilan amaran, tetapi masih enggan menjelaskan tunggakan hutang, akan
diserahkan kepada pihak peguam untuk tindakan guaman selanjutnya. Antara
tindakan yang boleh diambil adalah saman tuntutan, gadaian atas cagaran yang
diberikan ataupun tindakan muflis ke atas peminjam.
Dengan pelbagai kaedah ini, kutipan bulanan hutang mencecah purata RM268 ribu
sebulan dengan kutipan tertinggi dicatatkan pada bulan Oktober lalu sebanyak
RM588 ribu. KMMB juga menawarkan ibra’ atau diskaun kepada anggotanya yang
membuat penyelesaian awal ke atas baki hutang mereka. Dengan tawaran ibra’ ini,
ramai anggota yang mendapat kembali pulangan wang daripada keseluruhan hutang
yang mereka jelaskan kepada KMMB.
Prestasi ini juga diraih hasil dari pemantauan berterusan daripada pengurusan
kanan KMMB yang telah menubuhkan Task Force (Pasukan Petugas Khas) yang memantau
prestasi kutipan hutang secara berkala. “Adakalanya Task Force bermesyuarat
setiap hari untuk memantau secara dekat prestasi setiap penghutang. Tindakan
yang diputuskan, dipastikan dilaksanakan segera agar para peminjam diberi
peringatan berterusan”, kata petugas kawalan kredit itu lagi.
Task Force yang diketuai sendiri oleh Ir. Ahmad Jais, berjaya meningkatkan
persefahaman dan kerjasama di kalangan petugas unit kawalan kredit khususnya,
dan semua anggota pasukan tersebut amnya. “Semangat kerjasama berpasukan inilah
sebenarnya rahsia kejayaan kami”, kata beliau, mengakhiri perbualan ini.
SUMBER: KOPERASI MUSLIMIN MALAYSIA BERHAD
UNTUK MAKLUMAT LANJUT HUBUNGI:
Nama: Zaleha Mohamad
Tel: 03-40210033
Fax: 03-40215227
Website: www.koperasimuslimin.com.my
--Bernama

