Oleh Mohd Farhan Darwis
KUALA LUMPUR, 15 Sept – Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menafikan telah mengsahkan garis panduan menangani gejala Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang diadakan di Pulau Pinang pada 13 September lalu.
Dalam satu kenyataan di laman Facebook milik kementerian berkenaan, KPM menegaskan seminar yang dihadiri oleh dirasmikian Timbalan Menteri Pelajaran Puad Zarkashi itu adalah anjuran NGO yang “prihatin.”
“Adalah dimaklumkan bahawa KPM tidak pernah mengesahkan kepada mana-mana pihak untuk menyediakan atau mengeluarkan garis panduan tersebut untuk diedarkan ke sekolah-sekolah.
“Dimaklumkan juga bahawa seminar ini adalah anjuran NGO yang prihatin terhadap isu tersebut,” kata kenyataan tersebut.
Walau bagaimanapun, KPM melalui kenyataan tersebut turut memandang berat kes-kes gejala sosial yang berlaku.
“(KPM) sentiasa akan memberi bimbingan secara langsung dan tidak langsung kepada semua murid untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan gejala-gejala yang tidak sihat.”
Dipetik laporan akhbar Sin Chew Daily sebelum ini, garis panduan itu diterbitkan oleh Yayasan Guru Malaysia Bhd, Majlis Rundingan Persatuan Ibubapa dan Guru Putrajaya yang mendapat sokongan Kementerian Pelajaran dilancarkan dalam satu seminar di Pulau Pinang Khamis lalu.
Seminar itu bertujuan untuk menangani isu lesbian, gay, biseksual dan transgender dan merupakan program anjuran Yayasan Guru Malaysia Bhd.
Seminar itu juga turut menyebaraikan panduan yang menggariskan empat ciri simptom gay dan lesbian.
Simptom gay
Mempunyai badan sasa dan gemar menunjukkan badan dengan memakai baju berkolar-V dan tidak berlengan, gemar pakaian ketat dan berwarna cerah, tertarik kepada lelaki, suka membawa beg besar, sama seperti yang digunakan wanita, apabila keluar.
Simptom lesbian
Tertarik kepada wanita, menjauhkan diri daripada wanita lain, selain teman wanita mereka, gemar keluar, makan, dan tidur dengan wanita, tidak tertarik kepada lelaki.
Garis panduan itu juga turut memberi amaran kepada ibu bapa bahawa perhatian segera perlu diberikan kepada anak-anak mereka sekiranya menunjukkan simptom-simptom berkenaan.
Pulau Pinang merupakan negeri keempat yang mengadakan seminar tersebut selepas Selangor, Kuala Lumpur dan Perak, dan seminar terbaru itu merupakan kali ke sepuluh yang diadakan di negara ini.

