KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)
tidak pernah memberi pengesahan kepada mana-mana pihak menyedia atau mengeluar
garis panduan mengenai golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)
untuk tujuan pengedaran ke sekolah seluruh negara.
"Pengesahan kepada garis panduan tersebut tidak pernah dikeluarkan,"
menurut kenyataan KPM sebagai merujuk kepada laporan media baru-baru ini
berkaitan pengesahan garis panduan LGBT yang dibincangkan di Seminar
Keibubapaan mengenai isu LGBT di Pulau Pinang pada 13 Sept lepas.
Menurut kenyataan itu, KPM memandang berat isu LGBT yang berlaku dalam
masyarakat dewasa ini dengan mengambil beberapa inisiatif memerangi gejala
tersebut.
"KPM akan sentiasa memberi bimbingan secara langsung dan tidak langsung
kepada semua murid (dan pelajar) untuk mengelakkan diri mereka daripada terjebak
dengan gejala yang tidak sihat ini," menurut kenyataan itu.
Media sebelum ini melaporkan bahawa pihak kementerian menyokong satu ''Garis
Panduan'' kepada ibu bapa untuk mengenal pasti ''simptom'' Gay dan Lesbian pada
anak mereka bagi mengambil langkah untuk membetulkan keadaan itu.
Antara isi garis panduan itu adalah, "Simptom" gay mempunyai badan sasa dan
gemar menunjukkan badan dengan memakai baju berkolar-V dan tidak berlengan serta
suka membawa beg besar sama seperti yang digunakan wanita apabila keluar
manakala "Simptom" lesbian adalah tertarik kepada wanita serta gemar keluar,
makan, dan tidur dengan wanita.
-- BERNAMA
NMA AKT RHM

