‎Kumpulan Islam dan bukan Islam saling bekerjasama beri bantuan

Muslims, non-Muslims use song and service to spread unity

Ketika Datuk J Jegathesan bertemu Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) untuk menjadi sebahagian daripada rakan dalam perhubungan antara agama selepas serangan terhadap World Trade Centre pada 11 September 2001, beliau terkejut apabila mendapati pertubuhan itu mengetahui aktiviti kemasyarakatan yang dilakukannya melalui kerja amal yang dilakukan di bawah Sathya Sai Baba Central Council of Malaysia.

Beliau yakin Abim mempunyai maklumat berkenaan dirinya dan gerakan itu, memandangkan khidmat yang diberikan kepada masyarakat Islam di luar bandar.

"Kami sering mengadakan kem perubatan di kawasan pedalaman di Kelantan, Terengganu, dan Johor dan 95% mereka yang dirawat secara percuma adalah umat Islam.

"Jadi Abim begitu ingin tahu mengapa masyarakat India dan Cina memberikan khidmat mereka kepada orang Islam, dan mereka beritahu kami, selepas kami mengadakan kem itu, mereka akan memasuki kawasan berkenaan dan bertanyakan kepada penduduk apa yang kami lakukan kepada mereka," katanya.

Abim mendapati, mereka tidak pernah berbicara berkenaan Sathya Sai Baba apabila memberikan khidmat kepada orang miskin.

"Kami arahkan orang-orang kami, apabila mereka bertemu umat Islam, beritahu mereka untuk menjadi orang Islam yang baik dan beritahu Buddha untuk menjadi penganut Buddha yang baik," katanya.

Beliau berkata, selepas mendapati persatuan itu ikhlas dengan khidmat mereka, mereka tampil untuk menjadi sebahagian daripada Kumpulan Persahabatan Khidmat Antara Agama (FGIS), kumpulan tidak formal bagi agama majoriti di Malaysia.

Jegathesan yang juga pengasas FGIS berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk meyakinkan kumpulan agama berlainan menyertai mereka, dan hari ini FGIS dibentuk dari pelbagai kumpulan termasuk Council of Churches Malaysia (Wilayah Persekutuan dan Selangor), Buddhist Maha Vihara, Malaysia Hindu Sangam dan Malaysian Gurdwaras Council.

"Sudah 13 tahun sejak ikatan ini dibentuk dan kami bekerjasama memberikan perkhidmatan mempromosikan kesatuan," katanya.

Jegathesan, 70, turut berkata, beliau sering mengingatkan dalam setiap pertemuan bersama anggotanya sejak dahulu, mempromosikan kesatuan tidak cukup dengan hanya duduk di dalam bilik berhawa dingin, sebaliknya ia perlu diamalkan.

FGIS baru-baru ini mengajak mereka yang berlainan agama berkumpul di Masjid Besi atau Masjid Sultan Mizan untuk menyatakan solidariti kepada Palestin dan berbuka puasa bersama penganut Islam.

Mereka berada di sana pertama kalinya ketika berdoa untuk penumpang dan kru pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada 8 Mac bersama 239 penumpangnya.

Jegathesan yang juga bekas timbalan ketua pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia berkata, mereka merancang perkara yang sama untuk dilakukan di rumah ibadat penganut lain, termasuk gereja dan kuil, menegaskan penganut Islam dalam pertubuhan itu tidak mempunyai masalah berkenaan rancangan mereka.

Naib Presiden Abim Mohamad Raimi Ab Rahim yang juga aktif bersama FGIS mengesahkan perkata itu ketika dihubungi The Malaysian Insider minggu lalu.

"Dahulu, gereja pernah menjadi masjid dan masjid pernah menjadi gereja.

"Jadi, jika niat baik untuk menunjukkan solidariti, saya tidak nampak masalahnya kerana saya tidak kehilangan akidah saya," katanya.

Raimi berkata, beliau baru tamat pengajian sebagai peguam pada 2002 apabila bergerak aktif bersama FGIS.

"Ada isu serupa dibawa Abim dan FGIS, yang mana sasaran kami adalah menunjukkan solidariti perang di Iraq dan Afghanistan.

"Kami bersatu menyokong keamanan dan menunjukkan agama dan perang tidak boleh bersama," katanya.

Raimi berkata, masalah utama komuniti beragama adalah kegagalan memahami asas agama lain.

"Kita sering percaya agama lain adalah untuk memurtadkan orang.

"Sudah tentu setiap agama ada pendakwahnya, namun jika memilih hanya untuk melihat aspek itu membuatkan kita tersasar," katanya.

"Apabila kita memahami agama kita, dan bagaimana agama lain melihat kita, kita boleh bertolak ansur dalam sesetengah pendapat, namun tidak bermakna kita kehilangan akidah," katanya.

Raimi, 36, berkata, pemahaman terhadap agama lain juga membolehkan pemahaman yang lebih mendalam terhadap agama lain.

Beliau berkata, FHGIS membincangkan isu secara tidak formal dan jujur dalam perbincangan mereka dan mengeluarkan keputusan, dengan tujuan mempromosi kesedaran untuk kesatuan di peringkat akar umbi.

Bapa kepada empat anak ini berkata, ia lebih baik berbanding hanya "mengeluarkan kenyataan keras di media tentang agama lain tanpa bersemuka dengan mereka.

"Zaman dahulu terlalu banyak polarisasi, termasuk di sekolah dan universiti, jadi kita perlukan komunikasi untuk bertemu," katanya.

Raimi berkata, berhubung isu kalimah Allah, malangnya kes itu di bawa ke mahkamah, sedangkan dua pihak yang bertelagah sepatutnya boleh berbincang mencari jalan tengah.

"Sekarang mereka perlu akur dengan keputusan mahkamah.

"Bagi saya, kes itu tidak perlu di bawa ke mahkamah kerana agama bukan tentang menang atau kalah," katanya.

Beliau berkata, dalam isu seperti kalimah Allah, masih ada ruang untuk perbincangan.

"Tidak perlu kita menjadi ekstrem, kita perlu cari persamaan dan bekerjasama mencari penyelesaian," katanya.

FGIS katanya akan mengadakan program antara agama di kawasan campuran seperti Sentul dan Klang, di mana "masjid dan kuil berada bersebelahan."

Beliau berkata, mereka juga berhasrat menubuhkan sayap pemuda yang terlibat dalam pelbagai program seperti menghormati jiran sebelah dan pelakuan baik yang dituntut dalam semua agama.

‎Jegathesan pula berkata, Abim menunjukkan solidariti mereka yang menakjubkan apabila dua tahun lalu beliau mencadangkan jawatan koordinator dilantik secara bergilir-gilir.

"Dalam mesyuarat itu wakil Abim bangun dan berkata 'tidak perlu, Sai Baba sudah melakukan tugas dengan baik,'".

"Kenyataan itu membuatkan saya terharu."

Beliau berkata, FGIS komited meneruskan tugas mereka mempromosikan keamanan dan mengatasi kebimbangan dunia hari ini – agama mampu mencetuskan perang.

"Agama seharunya menjadi sumber yang cukup besar untuk keamanan dan kasih sayang, tetapi kini ia menjadi punca konflik.

"Malaysia menunjukkan kepada dunia, kepelbagaian etnik dan budaya, namun keamanan ini boleh musnah disebabkan rakyatnya," katanya.

Jegathesan percaya FGIS mampu memainkan peranan mereka dengan situasi agama di Malaysia.

Beliau berkata, kebanyakan rakyat Malaysia cintakan keamanan, namun beliau khuatir sesetengah golongan mampu menjadikan keamanan huru-hara.

Justeru, beliau merayu kepada anggota politik kedua-dua pihak tidak menggunakan isu kaum dan agama sebagai modal politik. – 31 Julai, 2014.