Larangan dapur jalanan dipertimbang semula bulan depan, kata NGO

Larangan kegiatan badan bukan kerajaan (NGO) dapur jalanan daripada beroperasi di sekitar 2km dari pusat beli-belah Lot 10, di Bukit Bintang, Kuala Lumpur akan dipertimbang semula pada mesyuarat yang akan diadakan 16 Ogos ini.

Sebelum ini, Putrajaya menangguhkan penguatkuasaan ke atas larangan mengagihkan makanan percuma kepada gelandangan di sekitar ibu kota itu hingga selepas sambutan Aidilfitri.

Sukarelawan dapur jalanan Wong Kar Fai berkata berkata pada mesyuarat dengan Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini, Soup Kitchen, salah satu kumpulan yang hadir, mencadangkan larangan itu dibatalkan sepenuhnya.

Kementerian bersetuju untuk mempertimbangkannya semula tetapi tidak beri jawapan yang konklusif sama ada mereka akan tetap melaksana atau membatalkannya.

Bagaimanapun, mesyuarat yang melibatkan wakil kementerian, Setiausaha Bahagian Perancangan Dasar Azizi Ahmad Termizi, dapur jalanan dan NGO hari ini memutuskan dapur jalanan, sama ada yang bergerak atau beroperasi dalam bangunan, boleh terus memberi makan kepada gelandangan selagi mereka menjaga kebersihan.

Mulai 16 Ogos, kerajaan akan mula menjalankan pemeriksaan dan pengawasan tegas atas dapur jalanan di Kuala Lumpur.

Wong yang juga pegawai program Empower berkata Putrajaya sepatutnya menjangkakan akan timbul masalah di peringkat awal dalam menguatkuasakan larangan terhadap dapur jalanan sekiranya ia dilaksanakan.

Katanya, walaupun dia memuji usaha kementerian berinteraksi dan berjumpa dengan dapur jalanan, dia kecewa kerana pihak gelandangan tidak dijemput bersama dalam mesyuarat itu.

Dia juga tidak puas hati dengan ketidakhadiran wakil dari pihak berkuasa dan kementerian lain kali ini, terutamanya wakil Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, walaupun mereka hadir pada mesyuarat pertama bulan lepas.

"Ops Qaseh (program kementerian wanita) tidak bermakna jika kita tidak memahaminya hingga ke tahap akar umbi," kata Wong.

Dia juga mengkritik sentimen Putrajaya yang negatif terhadap dapur jalanan dan NGO yang cuba membawa suara rakyat ke depan.

"Walaupun kurang wakil kerajaan, kami puas hati dengan mesyuarat kali ini, tetapi kami rasa dikhianati sebab semasa kita masih dalam proses perbincangan, mereka memasang besi penghalang di bangku tanpa memberitahu kami atau golongan gelandangan," katanya.

Pihak dapur jalanan kemudian meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur membuang semula besi penghalang yang dipasang dua hari lepas di bangku awam sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Chow Kit untuk menghalang gelandangan tidur di situ.

Penyelaras Soup Kitchen, Hadi Khalid berkata, atas perikemanusiaan, Putrajaya bukan saja harus membuang besi yang telah dipasang tetapi juga menghentikan pemasangan besi yang sedang dijalankan sekarang.

Bagaimanapun, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika diajukan hal ini berkata beliau tidak tahu menahu tentangnya.

Satu perkara positif, kata Hadi, kementerian mengiktiraf perbezaan di antara pengemis – yang mungkin sebahagian sindiket – dengan mereka yang tinggal di jalanan.

Selain Soup Kitchen, dapur jalanan lain yang hadir pada mesyuarat hari ini ialah Kechara, Pertiwi dan Kuala Lumpur Urban Fellowship.