JOHOR BAHARU, 31 Ogos (Bernama) -- Pembukaan Legoland Malaysia, taman tema
baharu di Iskandar Malaysia yang dijadual pada September ini, sememangnya
dinanti-nantikan semua pihak di negeri ini termasuk usahawan kecil.
Bendahari Gabungan Persatuan Teksi Berdaftar Johor Baharu (Gapet) Hadi
Mohamed berkata pembukaan taman tema itu akan memberi rezeki tambahan kepada
mereka.
"Ramai dalam kalangan penumpang, terutama dari Singapura kerap bertanya
tentang pembukaan taman ini dan dan kami sendiri pengusaha teksi, kereta sewa
dan kereta ekslusif tidak sabar menunggu untuk taman tema itu dibuka secara
rasmi pada 22 Sept nanti," katanya kepada Bernama, di sini.
Katanya ramai antara pengusaha teksi juga mengambil inisiatif mempromosi
taman tema tersebut dengan mengedarkan risalah mengenainya.
"Kami yakin apabila taman tema itu dibuka nanti ia mampu memberikan lebih
pendapatan kepada kami," katanya.
-- LAGI
LEGOLAND-REZEKI 2 JOHOR BAHARU
Sementara itu, peggiat bidang pelancongan Liza Alip yang juga Pengarah
Urusan Eascost Adventure Travel and Tour Sdn Bhd, Legoland merupakan satu lagi
produk pelancongan bercorak kekeluargaan yang boleh dipromosikan bukan sahaja
kepada pelancong tempatan tetapi juga luar negara.
"Kalau dahulu, kita mungkin hanya mempromosikan keindahan pulau-pulau yang
ada di Johor seperti Tioman dan juga makanan laut, namun kini kita mempunyai
satu ikon pelancongan baru yang boleh dipromosikan untuk percutian keluarga.
"Jika Singapura boleh berbangga dengan Universal Studionya, kini kita boleh
berbangga dengan Legoland dan ia merupakan dua taman tema yang mempunyai konsep
berbeza," katanya.
Beliau turut melahirkan keyakinan dengan adanya taman tema itu pelancong,
terutama yang berkeluarga, akan tinggal lebih lama di Johor berbanding sebelum
ini.
Sementara itu Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Thistle Hotel Aidah Abd
Rahman berkata pembukaan taman tema interaktif tersebut dijangka meningkatkan
tempahan bilik terutama ketika musim cuti persekolahan.
--LAGI
LEGOLAND-REZEKI 3 (AKHIR) JOHOR BAHARU
"Dengan adanya ikon baru ini, ia memberikan satu pulangan besar jangka masa
panjang bukan sahaja untuk bidang perhotelan tetapi juga industri lain. Jadi
kebanyakan penggiat indsutri perhotelan sekarang sedang bersedia meningkatkan
kualiti perkhidmatan untuk menerima kehadiran pelancong," katanya.
Taman tema itu dibangunkan oleh Theme Attractions and Resorts, sayap
operasi dan pengurusan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) bersama Merlin
Entertainments dengan kos RM720 juta di atas kawasan seluas 31 hektar di Medini
North.
Legoland Malaysia yang bertempat di Nusajaya itu merupakan yang keenam di
dunia selepas Legoland Billund, Legoland Windsor, Legoland California, Legoland
Deutschland dan Legoland Florida.
--BERNAMA
NSM NSM NM

