KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Satu lencongan jalan dibuka di Km P1.85
hingga Km P3.0 melibatkan Persimpangan Bertingkat Taman Sains Selangor 2 di
laluan Lingkaran Putrajaya, sehingga 30 Jun depan.
Menurut kenyataan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) lencongan itu bagi
membolehkan kerja pemeriksaan dan pemuliharaan persimpangan bertingkat itu
dilaksanakan.
Lencongan tersebut akan ditutup kepada semua kenderaan berat antara 7 pagi
hingga 8.30 pagi pada setiap Isnin hingga Jumaat.
Pengguna dari Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) yang ingin ke
Putrajaya atau Cyberjaya dinasihatkan supaya keluar dari lebuh raya menggunakan
Persimpangan Bertingkat Saujana Putra sebelum memasuki Lebuhraya Selatan Lembah
Klang (SKVE) untuk ke Putrajaya atau Cyberjaya.
Pengguna juga dinasihatkan supaya mematuhi papan tanda serta arahan yang
dikeluarkan di kawasan berkenaan.
-- BERNAMA
SAH KHY RAM

