Oleh Hafidz Baharom
KUALA LUMPUR, 19 Sept — Isu berkenaan identiti dan orientasi seksual seharusnya dimasukkan ke dalam sistem pendidikan sebelum garis panduan dikeluarkan, kata Setiusaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Loke Yim Pheng.
Loke berkata kepada pemberita, beliau tidak boleh mengulas berkenaan garis panduan tersebut yang dikeluarkan oleh Yayasan Guru Malaysia Bhd dan Majlis Rundingan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Putrajaya, adalah lebih penting untuk isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dimasukkan dalam pendidikan.
“Saya percaya kepada pendidikan, bukannya garis panduan, jadi bila anak-anak terdidik mereka akan tahu untuk berfikir.
“Saya tidak kata garis panduan akan membantu,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menambah, garis panduan yang lebih tersusun perlu dibentuk untuk membolehkan mereka berada di landasan yang betul.
“Sepanjang pengetahuan saya, kanak-kanak ini perlu di didik berkenaan perkara itu sebelum garis panduan dikeluarkan, bukannya mengeluarkan garis panduan sedemikian walaupun kanak-kanak tidak memahami perkara itu,” kata Loke.
Tambahnya, ia adalah “isu sensitif” , garis panduan yang lebih baik perlu dibentuk dari pelbagai aspek memberikan maklumat kepada mereka.
“Kita perlu libatkan Menteri Pendidikan dan Menteri Kesihatan — untuk mengkaji cadangan tersebut dan mengeluarkan satu garis panduan yang lebih lengkap,” kata Loke lagi.
Dipetik laporan akhbar Sin Chew Daily sebelum ini, garis panduan itu diterbitkan oleh Yayasan Guru Malaysia Bhd, Majlis Rundingan Persatuan Ibubapa dan Guru Putrajaya yang mendapat sokongan Kementerian Pelajaran dilancarkan dalam satu seminar di Pulau Pinang Khamis lalu.
Seminar itu bertujuan untuk menangani isu lesbian, gay, biseksual dan transgender dan merupakan program anjuran Yayasan Guru Malaysia Bhd.
Seminar itu juga turut menyenaraikan panduan yang menggariskan empat ciri simptom gay dan lesbian.
Simptom gay, mempunyai badan sasa dan gemar menunjukkan badan dengan memakai baju berkolar-V dan tidak berlengan, gemar pakaian ketat dan berwarna cerah, tertarik kepada lelaki, suka membawa beg besar, sama seperti yang digunakan wanita, apabila keluar.
Simptom lesbian, tertarik kepada wanita, menjauhkan diri daripada wanita lain, selain teman wanita mereka, gemar keluar, makan, dan tidur dengan wanita, tidak tertarik kepada lelaki.
Garis panduan itu juga turut memberi amaran kepada ibu bapa bahawa perhatian segera perlu diberikan kepada anak-anak mereka sekiranya menunjukkan simptom-simptom berkenaan.


