15 Nov - Selepas lagu nyanyiannya "Aku Tak Percaya Cinta" mendapat sambutan ramai, aktres "Histeria" Liyana Jasmay menyimpan hasrat untuk bekerjasama dengan komposer dari Indonesia bagi menampilkan kelainan untuk album keduanya yang kini dalam perancangan.
"Untuk album kedua, saya merancang untuk mendapatkan lagu daripada komposer dari Indonesia dan merakamkannya di sana. Ini tidak bermaksud di Malaysia tidak bagus, sebaliknya saya ingin mencari kelainan," ujar Liyana atau lebih mesra disapa Nana ketika ditemui di e@Curve, Mutiara Damansara baru-baru ini.
Ditanya jika ada pilihan komposer yang bermain di fikirannya, gadis kelahiran Kuantan ini memberitahu masih belum ada tetapi teringin untuk bertemu dan bekerjasama dengan Rian Ekky Pradipta daripada d'Masiv dan juga Ari Lasso.
"Saya memilih Rian kerana dia sorang yang berbakat dan lagu-lagu yang dihasilkannya sangat menarik. Rian cukup terkenal di Indonesia tetapi kurang dikenali di Malaysia. Manakala saya suka mendengar karya Ari Lasso yang pernah dihasilkan untuk Bunga Citra Lestari," tambah Liyana lagi.
Dalam perkembangan lain, Liyana kini sudah bergelar penerbit dan mempunyai syarikat penerbitan sendiri yang dikenali sebagai Mermaid Studio. Bekas kekasih penyanyi Aizat ini menyatakan rasa tidak sabar untuk menanti telefilem pertamanya, "Tudung Tweet" yang akan ditayangkan pada 16 November akan datang pada jam 8.30 malam di TV9.
Selain itu, Liyana juga akan membuat penampilan khas dengan filem bercorak misteri arahan Afdlin Shauki berjudul "Misteri Jalan Lama" yang akan menemui penonton pada 24 November 2011.


2 comments