Oleh Mohd Farhan Darwis
KUALA LUMPUR, 19 Sept — Mahkamah Tinggi Syariah hari ini menunda kes Berjaya Books Sdn Bhd kerana mengedarkan buku yang telah diharamkan tulisan Irshad Manji Allah, Kebebasan, dan Cinta sehingga keputusan semakan kehakiman dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Abdul Walid Abu Hassan hari ini menetapkan 21 Januari 2013 sebagai tarikh sebutan semula kes kerana keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk
Rohana Yusuf pada 22 Oktober.
“Buat masa ini, kita akan tunda kes ini sehingga keputusan dikeluarkan mahkamah Sivil,” kata Walid.
“Saya hanya tunda ... bukan tangguh.”
Ketika ditemui di luar kamar, peguam Rosli Dahlan berkata kepada pemberita mahkamah sivil adalah yang sepatutnya membicarakan kes berkenaan.
“Namun jika semua berkehendakkan mahkamah Syariah, jadi kita beri peluang kepada mahkamah syariah untuk berurusan dengan bidang kuasa kehakiman mereka.”
Rosli, bagaimanapun, menjelaskan beliau keliru berlakunya “pertembungan undang-undang”.
“Kenapa memberikan tekanan kepada mahkamah dan sistemnya?”
“Apabila anda bercakap tentang dualiti undang-undang, undang-undang Islam adalah undang-undang peribadi dalam negara.
“Jika anda mengambil undang-undang yang diterima pakai secara umum untuk mewujudkan berbelah bahagi, ia menimbulkan konflik undang-undang,” katanya kepada pemberita.
Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Berjaya untuk semakan kehakiman terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekituan (JAWI) atas tindakan mereka merampas buku penulis kontroversi Irshad Manji sebelum buku itu diharamkan oleh Kementerian Dalam negeri (KDN).
Tiga respondan dalam semakan kehakiman tersebut adalah Menteri Dalam Negeri, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, dan JAWI.
Pemohon untuk semakan kehakiman pula adalah Berjaya, Pengurus Besar Operasi dan Perniagaan Borders, Berjaya Books, Stephen Fung Wye Keong dan Pengurus Stor kedai buku Borders di The Gardens Mall di Mid Valley City, Nik Raina Nik Abdul Aziz.



