Mahkamah tolak permohonan blogger seks gugurkan tuduhan

Utusan label Alvin ‘pengganas’, lebih bahaya berbanding IS

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan blogger seks Alvin Tan dan Vivian Lee bagi menggugurkan satu daripada tiga pertuduhan ke atas mereka.

Semasa menolak permohonan itu, Hakim Kamardin Hashim berkata Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan terpakai kepada semua kaum dan tidak eksklusif kepada orang Islam sahaja.

Seksyen 298 (1) (a) menyatakan sesiapa yang melalui percakapan, isyarat atau sesuatu yang merosakkan keharmonian, perpaduan atau mencetus kebencian terhadap agama boleh dihukum penjara dua ke lima tahun.

Kamardin berkata pertuduhan yang difailkan ke atas Tan dan Lee di Mahkamah Sesyen adalah sah kerana aksi pasangan itu boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Tan yang mengenakan kemeja T hitam dan berseluar kelabu manakala Lee memakai baju hitam dan berseluar jeans tenang ketika Kamardin membacakan hujah penolakan hujah itu.

Pasangan itu memohon menggugurkan satu daripada tiga pertuduhan di bawah Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan pada 31 Oktober lalu.

Peguam mewakili pasangan itu, Chong Joo Tian mendakwa perkataan “Bak Kut Teh” bermaksud “teh tulang daging tidak menghina agama Islam.

Chong dilaporkan berkata perasaan terhina hanya disebabkan kekeliruan dan kurang pengetahuan segelintir umat Islam.

Beliau berkata Sekyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan merupakan peruntukan untuk mengawal dan mengurus undang-undang bagi memastikan kelancaran amalan agama Islam di kalangan penganutnya.

Namun, Kamardin berkata kelakuan Lee dan Tan menghidangkan Bak Kut Teh semasa bulan puasa jelas penghinaan kepada umat Islam.

“Ia pastinya mengundang kebencian, kemarahan dan perpecahan di kalangan umat Islam dan mayarakat Cina.

“Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan tidak terhad kepada umat Islam dan ia diadakan bagi memastikan keharmonian dan kesatuan dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Mahkamah mendapati Seksyen 298(A)(1)(a) Kanun Keseksaan merupakan undang-undang yang baik dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Tan, 25, dan Lee, 24, minta dibicarakan terhadap tiga pertuduhan ke atas mereka semasa di bawa ke Mahkamah Sesyen pada 18 Julai lalu.

Pasangan itu dituduh di bawah sub seksyen Akta Penapisan Filem 2002, Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 298A(1) Kanun Keseksaan.

Mereka dituduh menyiarkan gambar lucah di blog mereka “alvivwingers.tumblr.com” di Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh di antara 6 dan 7 Julai lalu.

Tuduhan kedua, membabitkan pasangan itu memuat naik kandungan yang boleh mengundang ketegangan agama di sebuah restoran di Dang Wangi pada 11 dan 12 Julai.

Manakala tuduhan ketiga menerbitkan gambar dan komen berbaur hasutan “Selamat Berbuka Puasa (dengan bak kut teh … wangi, enak dan menyelerakan)” yang turut mengandungi logo halal.

Tan dan Lee kemudian membuat permohonan maaf terbuka di luar mahkamah dan menyatakan kekesalan mereka.

“Saya dan Vivian memohon maaf dan kami menyesali perbuatan kami yang dulu. Kami tidak akan mengulanginya,” kata Tan sambil memegang tangan Lee. – 21 November, 2013