Advertisement

Malaysia ibarat Korea Utara kerana denda BFM RM10,000, kata Reza Aslan

Kebangkitan ekstremis bukti kumpulan sederhana berkembang, kata Reza Aslan

Sarjana Islam Iran dari Amerika Syarikat Dr Reza Aslan berkata, tindakan pihak berkuasa Malaysia mengambil tindakan terhadap stesen radio perniagaan BFM kerana mewawancaranya berhubung isu kalimah "Allah" umpama Korea Utara yang cuba menyekat suara rakyat.

Reza berkata, tindakan mendenda stesen radio itu sama seperti pemburuan "ahli sihir" dengan cubaan menakut-nakutkan.

"Ini apa yang dilakukan Korea Utara ketika menggodam Sony.

"Ia seperti sekumpulan samseng yang berniat mengugut supaya orang mendiamkan diri," kata Reza dalam satu temubual bersama The Malaysian Insider.

Beliau mengakui tindakan ‎pihak berkuasa Malaysia sebagai memalukan dan denda yang dikenakan terhadap radio stesen itu juga terlalu tinggi.

"Ia satu yang tidak boleh dipertikaikan, perkataan Allah hanyalah daripada perkataan Arab atau sama ertinya dengan 'Tuhan'," katanya.

"Jadi lebih baik berhenti berpura-pura wujudnya perdebatan atau perbincangan mengenai perkara tersebut, saya tidak menyatakan pendapat saya tetapi itulah kenyataannya.

‎"Jika kerajaan merasakan mereka boleh menentang fakta paling asas dan tidak boleh dipertikaikan tiada perdebatan mengenai isu itu, seperti saya katakan kepada stesen radio, ia menjadi bahan lawak," katanya.

Stesen radio itu baru-baru ini didenda RM10,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana mewawancara beliau pada 21 Oktober tahun lepas.

SKMM mengutus surat kepada BFM pada 9 Disember, mengatakan stesen radio itu tidak mematuhi syarat yang terkandung dalam lesennya dan tidak mematuhi Kod Kandungan Lesen mereka.

Beliau berkata, denda tersebut memalukan bagi rakyat Malaysia, terutamanya dengan kedudukan negara ini sebagai antara negara pemimpin dunia Islam pada abad ke-21.

"Malaysia bukan Arab Saudi, Pakistan atau Afghanistan. Ia sebuah negara moden, sofistikated dan tidak diperintah Taliban atau Wahabi," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan tidak akan berjaya menyekat suara-suara yang membantah tindakan mereka kerana mendenda BFM.

"Apabila anda cuba mendiamkan seseorang dengan mengancam atau memeras ugut, itu akan menyebabkan perhatian tertumpu kepada mereka. Seperti mengugut filem "The Interview", lalu menjadikan ia muncul sebagai filem paling terkenal di dunia.

‎"Hakikat terdapatnya cubaan membuli BFM hanya menyebabkan mereka meraih lebih sokongan," katanya.

Beliau merujuk kepada program kutipan dana yang dilancarkan di Facebook oleh aktivis kebebasan media, Masjaliza Hamzah yang melaksanakan kempen menderma RM10 setiap orang bagi membantu BFM membayar membayar denda tersebut.

‎Reza berkata, beliau turut bersedia untuk membayar baki denda yang dikenakan SKMM terhadap BFM.

"Kita harus berkata kita tidak akan dibuli atau mendiamkan diri," katanya.

Tambahnya, ‎reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa dilihat terjejas ekoran daripada kemelut isu kalimah "Allah" dan tindakan mendenda radio stesen berkenaan juga tidak membantu negara ini.

Beliau berkata pemimpin Islam dunia melihat amat mustahil untuk berdebat mengenai isu Allah di mana ia merupakan tamparan hebat kepada budaya dan pegangan rakyat Malaysia.

‎"Kerana itu saya kata seluruh dunia sekarang sedang mentertawakan kamu, ia dilihat sebagai bahan jenaka.

"Ini termasuk bagi umat Islam konservatif yang membenci penganut Kristian, sekiranya mereka memang berbahasa Arab mereka tahu tidak ada perbalahan mengenai itu," katanya. – 21 Disember, 2014.