Advertisement

Malaysia sambut baik Indonesia dalam perjanjian jerebu Asean

Palanivel nafi mesyuarat tergempar CWC sementara MIC esok

Malaysia menyambut baik langkah positif Indonesia mengesahkan Perjanjian Asean mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel dan pakar alam sekitar melihat Indonesia serius mahu menangani jerebu merentasi sempadan yang berpunca daripada kebakaran hutan.

Mereka percaya Indonesia bersedia menangani masalah jerebu secara berkesan, sekaligus dapat memperkukuh hubungan dengan negara jirannya seperti Malaysia dan Singapura yang turut terjejas teruk oleh fenomena jerebu.

Palanivel berkata Malaysia menunggu pengesahan Indonesia agar usaha menangani jerebu yang berlaku setiap tahun di rantau ini dapat dilakukan bersama.

"Ini menunjukkan komitmen dan keazaman kuat Indonesia mengurangkan pencemaran jerebu merentasi sempadan; kerjasama antara negara adalah konkrit dan boleh dilakukan," katanya kepada Bernama.

Parlimen Indonesia pada Selasa mengundi untuk mengesahkan perjanjian serantau itu, 12 tahun selepas kerajaan Indonesia menandatanganinya.

Perjanjian itu dirangka selepas jerebu paling teruk pada 1997, berpunca daripada proses menebang dan membakar hutan di Indonesia untuk tanaman, terutama kelapa sawit.

Sembilan negara anggota Asean lain mengesahkan perjanjian tersebut pada Jun 2013. Mereka menandatanganinya pada Jun 2012 di Kuala Lumpur.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo turut mengalu-alukan pengesahan Indonesia dengan berkata tanggungjawab bersama dalam kalangan negara Asean adalah perlu untuk menangani pencemaran jerebu merentasi sempadan secara berkesan.

Pengesahan itu memberi harapan kepada negara jiran, terutamanya Malaysia dan Singapura, katanya.

"Ia akan membantu Malaysia meneruskan jalinan kerjasama dan kolaborasi lebih baik antara profesional yang terlibat dalam mencari penyelesian. Adalah lebih baik lambat daripada tidak mempunyai kesedaran langsung mengenai alam sekitar," katanya.

Pada 1997, kerajaan Malaysia menghantar ratusan anggota bomba dan penyelamat untuk membantu Indonesia memadam jerebu.

Ibrahim yang menerajui Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar, Majlis Profesor Negara turut menyangkal pengesahan Indonesia itu bermotifkan politik.

Beliau berkata langkah bersejarah itu memaparkan hasrat murni Indonesia untuk menangani dan menyelesaikan masalah jerebu.

"Saya berharap ia akan memperkukuh hubungan dua hala dan diplomatik Malaysia dan Singapura yang terjejas teruk akibat jerebu daripada Sumatera (pada Jun) tahun lepas," katanya.

Indonesia sebelum ini mendakwa syarikat Malaysia dan Singapura yang memiliki ladang di Sumatera dan Kalimantan antara yang memulakan kebakaran semasa membersihkan ladang mereka.

Kebakaran yang berlaku menyebabkan asap melebihi tahap bahaya dan Presiden Indonesia ketika itu, Susilo Bambang Yudhoyono memohon maaf kepada Malaysia dan Indonesia.

Prof Madya Dr Mohd Talib Latif dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata perjanjian tersebut akan membantu mengurangkan pencemaran udara akibat pembakaran biomass semasa monsun barat daya antara Jun dan September setiap tahun.

"Pembakaran biomass di tanah gambut di Sumatera dan Kalimantan dikenalpasti sebagai faktor utama jerebu di Semenanjung Malaysia dan Sarawak setiap tahun," kata Mohd Talib dari Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, Fakulti Sains dan Teknologi.

"Pengesahan kepada perjanjian ini menunjukkan komitmen Indonesia menangani masalah jerebu di Asia Tenggara," katanya.

Mohd Talin berkata sukar untuk mengurangkan pembakaran biomass, terutamanya semasa musim kering berikutan paras air yang rendah dan tanah gambut.

"Kita hanya mengalami masalah pencemaran udara semasa monsun barat daya, apabila angin bertiup ke arah kita (Malaysia). Indonesia mengalami masalah ini setiap tahun semasa musim kering.

"Mereka turut menghadapi masalah daripada letupan gunung berapi yang lebih berbahaya daripada pembakaran biomass," katanya.

Pakar ini berkata perlu lebih banyak komitmen dan penguatkuasaan dari agensi kerajaan Asean bagi mengurangkan pencemaran jerebu di Asia Tenggara. – Bernama, 18 September, 2014.