KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Skuad bola sepak kebangsaan mencatat
kekalahan kedua dalam perlawanan persahabatan antarabangsa selepas tewas
0-2 kepada Thailand di Stadium SCG, Nonthaburi malam ini.
Skuad Harimau Malaya sebelum ini tewas 0-1 kepada Vietnam di Stadium My
Dinh, Hanoi Sabtu lepas.
Pada perlawanan di Thailand itu, skuad kebangsaan menerima asakan bertali
arus daripada pasukan tuan rumah sebaik sahaja perlawanan bermula dan hasilnya
Thailand berada di depan pada minit ke-26 menerusi jaringan pemain
pertahanannya, Prayat Bunya selepas menanduk masuk sepakan penjuru daripada
rakan sepasukan.
Tersentak dengan gol tersebut, skuad kebangsaan memperkemaskan jentera
serangan menerusi Mohd Safee Mohd Sali dan Azamuddin Mohd Akil, namun kekebalan
benteng pertahanan skuad Gajah Putih itu menyukarkan mereka untuk mencari gol
penyamaan.
Pemain penyerang tuan rumah, Ahtit Suntornpit kemudian memastikan kemenangan
mutlak pasukan bimbingan Winfried Schafer menerusi gol kedua pada minit ke-81
menerusi sepakan kencang daripada luar kotak penalti Malaysia.
-- LAGI
SUKAN-BOLA SEPAK (PERSAHABATAN) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Skuad Harimau Malaya akan kembali ke tanah air untuk meneruskan aksi
persahabatan bertemu Hong Kong di Stadium Shah Alam pada 14 Nov ini.
Pada Kejohanan Piala AFF Suzuki yang bermula 23 Nov ini, skuad kebangsaan
yang diundi dalam Kumpulan B bakal berdepan Singapura pada 25 Nov, bertemu Laos
pada 28 Nov sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Indonesia pada 1 Dis.
Kesemua perlawanan itu berlangsung di Stadium Nasional Bukit
Jalil.
-- BERNAMA
MCYS MCYS HM


