Malaysia-UK setuju kukuh kerjasama tangani jenayah rentasi sempadan

Program pemulihan banduan berjaya kurangkan kes berulang, kata Ahmad Zahid

Malaysia dan United Kingdom akan mengukuhkan kerjasama dalam menangani jenayah merentas sempadan antaranya memerangi jenayah kolar putih, sindiket dadah dan program pemulihan penagih di penjara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar).

“Saya dimaklumkan kerajaan United Kingdom berjaya mengurangkan permasalahan jenayah kolar putih berjumlah 26 bilion paun pada 2013.

“Ini merupakan satu jumlah yang besar dan kalau langkah yang sama kita lakukan, ia boleh mendatangkan hasil kepada negara,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ray Kyles, di Putrajaya hari ini.

Katanya jenayah kolar putih juga semakin meningkat di negara ini, di mana Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas RM1.081 bilion aset hartanah tahun lalu berbanding RM850 juta aset pada 2012.

Katanya kedua-dua kerajaan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pada 2012 bagi tujuan tersebut, namun pelaksanannnya masih kurang berkesan dan tidak meluas.

Dalam pertemuan itu, katanya, beliau dan Kyles juga bersetuju untuk berkongsi maklumat dan menggunakan kaedah baharu dalam usaha menyelamatkan kanak-kanak dan remaja daripada perangkap pengedar dadah serta program pemulihan penagih dadah bagi jangka panjang.

Zahid berkata usaha itu perlu memandangkan kanak-kanak seawal sembilan tahun dijadikan mangsa dalam najis dadah.

"Kami bincang beberapa langkah yang perlu dilakukan bagi menentukan agar tidak ada lagi potensi penagih dadah ini dimangsakan oleh pengedar-pengedar dadah di sekolah-sekolah rendah terutamanya di kawasan hitam yang dikenal pasti sebagai tempat pengedaran dadah.

"Begitu juga langkah-langkah pemulihan tentunya memerlukan bukan sekadar lawatan dan pertukaran maklumat tetapi beberapa langkah baharu, terutamanya bagi pemulihan jangka panjang,” katanya. – Bernama, 8 September, 2014.