SINGAPURA, 22 Ogos (Bernama) -- Maybank Singapore hari ini mengumumkan
pelancaran perkhidmatan perbankan mudah alihnya bagi pelanggan bank tersebut.
Aplikasi perbankan mudah alih Maybank itu akan tersedia bagi platform iPhone
semasa pelancaran awal ini dan bagi platform mudah alih lain pada suku kedua
2013.
Menyedari bahawa pelanggan semakin beralih kepada saluran elektronik bagi
keperluan perbankan mereka, bank itu menyediakan platform perbankan mudah alih
untuk melengkapkan saluran elektronik lain seperti perbankan internet.
Bilangan pelanggan yang melanggan perkhidmatan perbankan internet bank itu
semakin meningkat, mencatatkan peningkatan tahun ke tahun lebih 10 peratus sejak
tiga tahun lepas.
Pelanggan juga semakin kerap melaksanakan urus niaga perbankan secara dalam
talian dan kuantiti urus niaga berkembang lebih 20 peratus daripada tahun lepas.
Lim Kuo Siong, Ketua IT dan Perbankan Maya, Maybank Singapore berkata:
"Menerusi aplikasi baharu ini, kami menyasar untuk meningkatkan pengalaman
pelanggan kami dengan kami menekankan visi kami untuk menginsankan perkhidmatan
kewangan di seluruh Asia dan komitmen untuk menangani keperluan gaya hidup mudah
alih pelanggan yang berkembang secara beransur-ansur.
Saluran perbankan mudah alih Maybank akan menawarkan pelanggan kemudahan
perbankan menerusi peranti mudah alih mereka pada bila-bila masa dan di
mana-mana sahaja.
Dengan aplikasi perbankan mudah alih Maybank, pelanggan kini boleh
melaksanakan urus niaga perbankan internet biasa seperti pertanyaan akaun,
pembayaran bil dan pindahan dana dalam talian di telefon pintar iPhones mereka
serta iPad di mana-mana sahaja.
Aplikasi ini juga membolehkan pelanggan mengesan cawangan Maybank atau mesin
tele automatik berdekatan dan mendapatkan promosi terkini.
-- BERNAMA
TNS TOM ZK

