MB persoal campurtangan Pusat dalam isu air Selangor

Oleh Mohd Farhan Darwis

KUALA LUMPUR, 17 Jun — Kerajaan negeri Selangor mempertikaikan tindakan kerajaan Pusat mencampuri urusan kerajaan negeri dalam menangani isu air kerana ianya adalah pelanggaran undang-undang yang jelas.

Dipetik Sinar Harian, Menteri Besar negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tindakan Pusat yang menidakkan kuasa kerajaan negeri menangani isu air itu adalah  pelanggaran undang-undang di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang diluluskan sendiri oleh kerajaan Persekutuan.

“Saya rasa Kerajaan Persekutuan tidak boleh untuk tidak melaksanakannya. Ini kerana dalam perlembagaan, air di bawah kuasa negeri tetapi pelaksanaan adalah persefahaman kedua kerajaan.

“Kita juga sudah membuat persetujuan dengan Kerajaan Persekutuan dan saya berharap mereka tidak culas dalam melaksanakannya memandangkan kedua kerajaan perlu melaksanakannya demi kepentingan rakyat.

Khalid (gambar) turut memberi amaran kepada kerajaan Pusat jika masih berdegil untuk mempersoalkan kerajaan negeri dan dibuat semata-mata atas dasar politik, rakyat akan menghukum mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang nanti.

“Jika sekiranya mereka masih mempersoalkan tindakan kerajaan negeri semata-mata atas dasar politik, kita tunggu sahaja keputusan pilihan raya umum (PRU) nanti.

“Ini kerana saya percaya kuasa kehakiman rakyat akan membuktikan siapa lebih berhak mentadbir negeri ini,” kata Adun Ijok ini lagi.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang menyifatkan kerajaan PKR Selangor hanya pandai berforum tetapi gagal menyelesaikan isu bekalan air.

Kenyataan itu juga dibuat berikutan Forum Air Selangor yang dikatakan berat sebelah kerana hanya dihadiri exco kerajaan negeri, ahli-ahli Parlimen dari PR selain wakil media dan dan segelintir orang awam sahaja.

Sebelum ini, Khalid menyifatkan forum bersama orang awam tanpa melibatkan wakil Pusat dan syarikat konsesi, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dianggap lebih relevan kepada rakyat untuk membuat pilihan lebih murah bagi mendapatkan bekalan air bersih, selain projek penyaluran air Pahang menerusi pembinaan Loji Rawatan Langat 2.

Beliau turut menjelaskan, Syabas tidak berminat untuk meneruskan perbincangan dalam forum dengan alasan utama mereka ada sebutan kes di mahkamah selain sementara Selangor kecewa apabila kementerian berkaitan juga gagal datang ke forum sama yang dianjurkan sebelum ini.

 

Loading...

Comments on Yahoo! pages are subject to our link to Comments Guidelines. You are responsible for any content that you post. Yahoo! is not responsible or liable in any way for comments posted by its users. Yahoo! does not in any way endorse or support comments made by its users.