MCA sedia kembali bersaing dalam arena politik negara

Race-based parties growing more irrelevant, survey shows

Selepas dua hari bersidang membincangkan hal parti dan memerah idea, sejumlah 1,839 perwakilan yang menghadiri mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MCA ke-61 ternyata mendapat semangat baharu dengan kesemua anggota sepakat untuk sama-sama berusaha memastikan parti terus kekal berdaya saing di dalam arena politik negara.

Mesyuarat kali ini turut menyaksikan komitmen yang dizahirkan baik di peringkat Pemuda, Wanita dan pusat MCA parti perlu melaksanakan pendekatan baharu untuk generasi muda pelbagai kaum untuk kekal relevan.

Mengakui peningkatan kekuatan politik menjadi matlamat utama bagi MCA, Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata selepas berterusan mengalami kekalahan teruk dan prestasi hambar dalam dua pilihan raya umum lepas, parti itu memikul tanggungjawab untuk mengembalikan sokongan masyarakat Cina kepada Barisan Nasional (BN).

MCA perlu kembali jadi wadah perjuangan kaum Cina

Semasa merasmikan mesyuarat agung tahunan itu pada Ahad, Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak menegaskan masa depan MCA bergantung kepada perpaduan.

Perdana menteri berkata MCA perlu menjadi parti yang kuat dan bersatu, supaya boleh membantu mengembalikan semula sokongan masyarakat Cina kepada BN pada pilihan raya akan datang.

"MCA mesti mempunyai hala tuju... ini penting. Selama ini, apabila anda bertelingkah, anda kehilangan arah. Ini bukan saya yang cakap... saya hanya melahirkan pandangan yang diberikan oleh sebahagian besar masyarakat Cina.

Mereka menyatakan kepada saya MCA hilang arah.

"Tetapi kini di bawah kepimpinan Liow, saya yakin MCA sekarang mempunyai arah hala tuju dan matlamat. Sebab itulah saya nak kata saya akan sokong pimpinan MCA sedia ada sebagai pengerusi BN. Buatlah apa yang terbaik," kata Najib.

Kenyataan perdana menteri itu memberi isyarat amat jelas untuk difahami MCA, parti yang bersama-sama BN sejak sebelum kemerdekaan negara, pentingnya bangkit semula dan melaksanakan pembaharuan parti secara holistik dengan pendekatan yang dinamik agar kembali semula menjadi parti pilihan bagi masyarakat Cina.

Pada mesyuarat yang berusaha mahu memastikan MCA terus menjadi wadah perjuangan masyarakat Cina, sayap Pemuda MCA menggariskan meluluskan 12 resolusi, manakala Wanita meluluskan tujuh resolusi dan Pusat meluluskan enam resolusi merangkumi hal ehwal parti, politik, ekonomi, pendidikan, kerajaan dan keselamatan.

Liow, yang juga menteri pengangkutan, berkata adalah menjadi tanggungjawab MCA untuk memimpin masyarakat Cina agar terus berada di dalam arus perdana politik tanah air.

"Masyarakat Cina tidak boleh hilang hala tuju mahu pun putus asa terhadap MCA dan BN," kata Liow.

Transformasi parti rangkum 11 teras utama

Liow dalam ucapan dasarnya turut menegaskan matlamat perjuangan MCA pada masa akan datang ialah memberi fokus kepada tiga aspek utama iaitu peningkatan kekuatan politik, kekuatan ekonomi serta kualiti pendidikan dan kebudayaan.

MCA dalam pada itu menggariskan 11 teras utama dalam usaha parti melaksanakan transformasi demi kelangsungan parti.

Liow berkata pelan transformasi parti menitikberatkan soal penstrukturan dalaman organisasi dan menyelaras usaha-usaha bagi membentuk sebuah angkatan yang efektif dan kompeten dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Sebelas teras utama itu ialah pengemaskinian senarai ahli dan pembaharuan proses pemilihan parti, mekanisme pemilihan calon pilihan raya, penubuhan pejabat tetap pilihan raya parti, mendokumentasi sejarah parti, pembaharuan latihan kader dan latihan menghadapi pilihan raya umum.

Perkara lain meliputi kajian sikap dan pendapat umum, strategi mendekati belia dan wanita, semangat sukarelawan, pembaharuan kaedah publisiti dan media dalam talian serta peranan MCA dalam kerajaan.

Berkongsi pandangan sama, Timbalan Pengerusi MCA Selangor Datuk Donald Lim Siang Chai menyifatkan pembaharuan secara holistik yang sedang dan akan dilaksanakan parti mampu memulihkan semula sokongan masyarakat Cina.

"Saya percaya dengan kepimpinan baharu MCA ditambah dengan usaha keras, kita mampu melonjakkan kembali sokongan rakyat kepada parti. Saya juga berharap masyarakat Cina yang mengikuti maklumat menerusi media sosial supaya membuat perbandingan antara kerajaan dan juga pembangkang," katanya di Kuala Lumpur.

MCA bangkit kembali

Dalam usaha menaikkan semula imej parti, Liow berkata sepanjang perjuangan, hampir semua parti komponen BN pernah mengharungi kepayahan dan kegagalan, namun ia bukanlah alasan untuk berputus asa.

"Bagi MCA, selepas dua kekalahan berterusan dalam pilihan raya umum, semangat dan iltizam kami tetap utuh, malah lebih kuat bagi meneruskan perjuangan dengan azam, pendekatan serta semangat yang baharu," kata Liow.

Bagi Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon, sayap itu akan terus memainkan peranan mereka dengan ikhlas dalam usaha mendekati rakyat serta akan memfokuskan gerak kerja berkaitan isu sosial dan negara.

"Kita sebagai pemimpin perlu bekerja keras dan berinteraksi bersama rakyat untuk mendengar suara rakyat dan menyelesaikan masalah mereka. Kedudukan yang terlalu selesa akan menyekat kita daripada mendengar rintihan rakyat," kata Chong.

Sementara itu, Pemangku Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak Datuk Seri Tiong King Sing memberitahu Bernama beliau yakin MCA akan muncul lebih kukuh, selepas berjaya melakukan pembaharuan dan memberi nafas baharu parti.

"Seperti yang dibicarakan perdana menteri, MCA perlu berhenti bertelagah. Ia akan hanya membuatkan masyarakat bosan. MCA boleh bangkit semula jika kerja sepasukan dan membantu rakyat," katanya Tiong, yang merupakan antara tetamu parti komponen pada AGM itu.

Bagi Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong, kesepakatan yang dibina BN sejak dahulu lagi khususnya dalam pemilihan calon pilihan raya boleh membina semula kejayaan MCA.

Katanya selain semangat berpasukan, soal calon adalah elemen yang cukup penting dalam menentukan jatuh bangun sesebuah parti.

"Saya lihat MCA sudah bersatu padu. Satu MCA yang kuat adalah baik untuk BN. Apabila saya melihat semangat kerjasama di kalangan anggota MCA, saya yakin MCA akan dapat melakukan yang lebih baik selepas ini.

"Perdana menteri sangat berterus terang (mengenai MCA yang kehilangan arah)... tetapi kini MCA kembali... namun ini bukan hanya untuk MCA, tetapi juga parti-parti komponen lain. Maka, kini (BN) mesti fokus dan pastikan parti berupaya mencatatkan prestasi yang lebih baik pada pilihan raya umum akan datang," katanya. – Bernama, 14 Oktober, 2014.