MCA sokong minyak naik harga

Dr Chua says he is no dictator, not interested in re-election

MCA menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menaikkan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen bermula tengah malam tadi sambil menggesa kerajaan menambah baik jaringan pengangkutan awam.

Datuk Seri Dr Chua Soi Lek (gambar) berkata, MCA berharap rakyat dapat memahami pengurangan subsidi oleh kerajaan sebagai usaha merasionalisasikan subsidi untuk menstabilkan ekonomi negara.

“Kami menyambut baik keputusan Perdana Menteri meningkatkan amaun Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang akan diumumkan pada Bajet 2014 tidak lama lagi.

“Pendirian parti jelas supaya subsidi hanya disalurkan kepada mereka yang berkelayakan kerana pemberian subsidi bertujuan membantu mengurangkan beban golongan miskin.

“Pemberian subsidi yang diamalkan sekarang memberi faedah kepada kumpulan besar iaitu dari golongan kaya hingga termiskin dan ini bukan menjadi objektif kerajaan membantu mereka yang memerlukan,” kata presiden MCA itu dalam satu kenyataan hari ini.

Chua berkata, selagi kadar inflasi berada pada paras yang boleh dikawal, peningkatan bantuan kerajaan akan membantu golongan sasar seperti golongan miskin dan mereka yang berpendapatan rendah.

Beliau turut menggesa kerajaan mempercepat pembinaan sejuta rumah kos rendah bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Katanya, rakyat turut digesa menggunakan pengangkutan awam ekoran kenaikan harga petrol selain kerajaan perlu bertanggungjawab menambah baik sistem jaringan pengangkutan awam serta projek MRT dengan memastikan tiada kelewatan.

“Kami meminta pembangkang berhenti mempolitikkan isu kenaikan harga minyak dan menambah kebencian rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Rakyat perlu faham kepentingan rasionalisasi subsidi dan bukan termakan dengan ideologi pembangkang menyebar kebencian rakyat terhadap kerajaan,” katanya.

Najib ketika mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel semalam, menjelaskan kerajaan ketika ini menanggung subsidi sebanyak 83 sen seliter bagi RON95 dan RM1 seliter bagi diesel, serta menegaskan kerajaan masih lagi memberi subsidi yang banyak kepada rakyat.

Beliau menjelaskan pengurangan subsidi sebanyak 20 sen ini bermakna kerajaan masih memberi subsidi sebanyak 63 sen seliter bagi RON95 dan 80 sen seliter untuk diesel.

Kali terakhir minyak petrol RON95 dan diesel naik pada tahun 2010, iaitu mengalami kenaikan sebanyak 5 sen seliter.

Najib menegaskan langkah itu bagi memastikan sasaran kerajaan mencapai defisit fiskal dalam lingkungan 3 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2015 dan bajet berimbang menjelang 2020. - 3 September, 2013.