MELAKA, 21 Sept (Bernama) -- Kerajaan negeri Melaka bercadang membina lima
pintu air bagi mengatasi masalah banjir kilat khususnya di Melaka Tengah.
Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata lokasi yang
dikenal pasti bagi pembinaan pintu air tersebut ialah di kawasan Sungai Melaka
berhampiran Kampung Pengkalan Rama Pantai dan Pasaraya Tesco selain Kampung
Enam, Kampung Lapan dan Tengkera.
"Penduduk tidak perlu lagi bimbang dengan masalah banjir kilat yang
sering kali terjadi, selepas adanya pintu air ini nanti," katanya kepada
pemberita selepas meninjau Kampung Air di Bukit Palah yang dilanda banjir kilat
semalam.
Seramai 61 keluarga yang terlibat dalam banjir kilat tersebut menerima
bantuan wang tunai masing-masing berjumlah RM200 daripada kerajaan negeri bagi
meringankan beban mereka.
Mohd Ali bagaimanapun berkata pihaknya memerlukan peruntukan sepenuhnya yang
telah diluluskan kerajaan persekutuan berjumlah RM128 juta bagi mengatasi
masalah banjir di seluruh Melaka.
"Kita telah menerima RM40 juta dan telah menggunakannya bagi tujuan
mengatasi masalah banjir tetapi kita masih memerlukan RM88 juta lagi daripada
peruntukan yang diluluskan itu," katanya.
-- BERNAMA
DAN KIA HM

