KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Merchantrade Sdn Bhd, penyedia
perkhidmatan pemindahan wang, berhasrat mencapai RM3.5 bilion transaksi kiriman
wang menerusi perkhidmatan kiriman wang mudah alih yang baharu diperkenalkan,
Doowit, dalam tempoh tiga tahun.
Pengarah Urusan, Ramasamy Veeran berkata untuk memenuhi sasaran itu,
syarikat akan memperkenalkan 700 pusat Doowit dalam 24 bulan.
"Kami berhasrat meningkatkan penguasaan pasaran kami di kalangan penyedia
perkhidmatan kiriman wang, bank-bank dan bukan bank di Malaysia kepada 30
peratus dalam tempoh tiga tahun berbanding 10 peratus pada masa ini," kata
beliau kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan itu di sini hari ini.
Turut hadir ialah Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly, Ketua Pegawai
Eksekutif Celcom Axiata Bhd, rakan niaga Merchantrade dalam perkhidmatan
telekomunikasi.
Ramasamy berkata Merchantrade, pengendali rangkaian maya mudah alih (MVNO),
turut menyasar menggandakan pelanggan perkhidmatan mudah alih prabayarnya dengan
pelancaran Doowit.
Pada masa ini, beliau berkata, syarikat mempunyai 300,000 pelanggan
perkhidmatan mudah alih prabayar sejak pelantikannya sebagai MVNO oleh Celcom
pada 2007.
Dengan memanfaatkan infrastruktur telekomunikasi Celcom, Doowit menawarkan
perkhidmatan kiriman wang mudah alih ke negara-negara serantau seperti India,
Nepal, Sri Lanka, Indonesia, Pakistan, Filipina, Bangladesh, Myanmar dan
Vietnam.
Beliau berkata untuk menggunakan perkhidmatan itu, pelanggan perkhidmatan
mudah alih prabayar Merchantrade hanya perlu pergi ke pusat-pusat Doowit, yang
juga dikenali sebagai "ejen tunai" atau cawangan kiriman wang
Merchantrade untuk menunaikan dompet mudah alih masing-masing.
Beliau berkata yang perkhidmatan itu menawarkan fleksibiliti kepada para
pengguna untuk membuat transaksi kiriman wang dari mana-mana jua di Malaysia
dengan liputan Celcom.
Merchantrade, pemegang lesen Kelas A di bawah Akta Perniagaan Perkhidmatan
Wang 2011, telah membuat lebih daripada 1.5 juta transaksi luar bernilai RM1.5
bilion setiap tahun daripada 64 cawangan seluruh negara kepada 170,000 lokasi
pembayaran keluar di Bangladesh, Nepal, Indonesia, Vietnam, Filipina, Myanmar,
India, Pakistan dan Sri Lanka.
-- BERNAMA
MKI WGM AA

