NEW YORK, Jan 23 (Bernama) -- Tiga produk mi segera dari Malaysia merupakan
produk pertama dari tanah air yang berjaya menembusi pasaran arus perdana di
Amerika Syarikat.
Ketiga-tiga produk itu ialah Malaysian Lemongrass Noodles, Garlic Sesame
Noodle dan Shitake Mushroom Noodles, di bawah jenama Asian Meals, kini berada di
kesemua rangkaian farmasi dan kedai serbaneka Duane Reade di sekitar New York
dan New Jersey.
Semua produk itu adalah keluaran Care Food Industries Sdn Bhd, yang
beroperasi di Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur. Syarikat mempunyai pejabat
pemasaran dan jualan di Atlanta, Georgia.
Pesuruhjaya Kanan Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar
Malaysia (Matrade) yang berpejabat di New York, Muhd Shahrulmiza Zakaria
inisiatif "Malaysia Kitchen for the World" telah berganding bahu dengan Duane
Reade bagi melaksanakan promosi eksklusif mempamerkan produk makanan Malaysia di
cawangan kawasan metro New Yorknya.
Inisiatif "Malaysia Kitchen for the World" adalah inisiatif global kerajaan
Malaysia yang bermatlamat mendidik dan memberi maklumat kepada para pengguna
mengenai makanan, restoran, produk makanan Malaysia di seluruh dunia.
"Sebanyak 52 cawangan Duane Reade di Manhattan, Brooklyn dan New Jersey akan
menawarkan kupon bagi Asian Meals dan produk Malaysia yang boleh ditebus di
lokasi wilayah Duane Reade. Kupon itu tersedia semasa demonstrasi dan majlis
memberikan sampel produk Asian Meals di dalam cawangannya," katanya kepada
Bernama di pejabatnya di Manhattan.
Katanya acara demonstrasi dan pensampelan baru sahaja bermula Ahad lepas di
54 cawangan Duane Reade sekitar Manhattan, Brooklyn dan New Jersey, selama enam
hari dan pusingan kedua akan diadakan mulai bulan depan untuk tempoh lebih 20
hari.
Care Food, melalui laman webnya, berkata syarikat itu mempunyai pengalaman
lebih 20 tahun sebagai pakar masakan Asia, yang menggunakan ramuan semula jadi
yang terbaik.
Sementara itu, Duane Read, yang diasaskan sejak 50 tahun lepas, beribu
pejabat di bandar raya New York.
Jadual promosi dalam cawangan Duane Reade boleh juga diperoleh dari
www.malaysiakitchennyc.com atau facebook Malaysian Kitchen for the World.
– BERNAMA
NER AHM

