KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Walau pun dipertangungjawabkan untuk
mempromosikan pengembangan pasaran minyak sawit melalui pelbagai teknologi,
kelebihan ekonomi, kandungan nutrisi dan kemampanan alam sekitar minyak sawit
Malaysia, tidak banyak diketahui mengenai peranannya sebagai peneraju usaha
pemuliharaan, terutama sekali di pedalaman Sabah, yang merupakan pengeluar utama
minyak sawit negara.
Ini ialah kerana Malaysia perlu menunjukkan kepada dunia bahawa ia tidak
memusnahkan hutan hujan dan habitat hidupan liar, khususnya orang utans, tbagi
menghasilkan minyak sawit.
"Malah, 56 peratus daripada bumi Malaysia dilitupi hutan semulajadi kekal
tetapi sebaliknya negara maju mempunyai kurang daripada 30 peratus."
"Banyak pihak di Barat mendakwa mempunyai minat mendalam dan keinginan
melindungi orang utan yang sememangnya dilindungi tetapi tidak menyumbang dana
bagi inisiatif melindungi mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Tan Sri
Datuk Dr Yusof Basiron.
Satu lawatan ke kawasan pembiakan orang utan di Sukau, Sandakan, anjuran
MPOC, mendedahkan pelaksanaan banyak kerja penyelidikan dan pemuliharaan dari
matahari naik hingga matahari turun bagi mendapatkan data dari pemerhatian
tabiat pemakanan hingga ke aspek sosial orang utan.
Dapatannya menunjukkan bahawa orang utan di Kinabatangan menggunakan 40
peratus daripada masanya berehat dan 40 peratus makan serta membuat sarang
baharu di atas pokok untuk tidur setiap hari.
Pengarah Program Pemuliharaan Orang Utan Kinabatangan (HUTAN) Dr Isabelle
Lackman berkata orang utan di hutan sekondari (yang dikeluarkan balak sebelum
ini), berkata tebaran orang utan kini merosot dengan pantas berikutan
pencerobohan manusia.
"Orang utan hidup berkembang di hutan sekondari dan usaha sedang dilakukan
untuk memastikan habitat itu tidak hilang pada masa depan," katanya.
Isabelle, seorang pakar primat di segi profesyen, berkata langkah perlu dan
segera diperlukan bagi menangani konflik bagi mencegah kemungkinan kepupusan
orang utan.
Ini boleh dicapai melalui bantuan dan sokongan pihak berkepentingan di dalam
mewujudkan mekanisme inovatif di mana pembangunan tempatan menjadi serasi dengan
pemuliharaan jangka panjang orang utan dan habitatnya, katanya.
Di Sabah, terdapat lebih 200 spesi mamalia, sekitar 540 spess burung dan
kira-kira 100 spesi reptilia.
Tabung Pemuliharaan Hidupan Liar Minyak Sawit Malaysia diilhamkan oleh MPOC
pada 2006 semasa kemuncak cabaran yang dihadapi oleh industri itu di dalam
bentuk kempen negatif yang dicanang oleh pertubuhan bukan kerajaan Barat.
Ia melancarkan dana itu dengan pelaburan awal RM20 juta, di mana RM10 juta
adalah geran dari kerajaan dan bakinya disediakan oleh industri itu.
MPOC, yang akur pentingnya menyeimbangkan antara pembangunan dan
pemuliharaan hidupan liar, kini aktif membiayai beberapa program melalui MPOWCF.
Antaranya, dua program pemuliharaan utama perlu ditengahkan.
Yang pertama ialah Unit Menyelamat Hidupan Liar (WRU), yang diwujudkan pada
2006, yang menyelamat dan memindahkan hidupan liar yang mengalami kesukaran di
dalam lanskap Sabah dan di Pusat Perlindungan Hidupan Liar Gajah Borneo yang
akan diwujudkan dan perlindungan selamat bagi gajah liar yang terpinggir.
WRU, satu kerjasama antara Jabatan Hidupan Liar Sabah, MPOC dan Hotel Rasa
Ria Shangri-La, adalah unik kerana ia adalah usaha yang pertama dan satu-satunya
di Malaysia dan rantau ini.
Ketua Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Ketua Doktor Haiwan Dr Sen Nathan
berkata WRU, sehingga Jun, telah menyelamatkan dan/atau memindahkan 29 gajah
Borneo dewasa dan anak, tujuh orang utan Borneo dewasa dan anak, tujuh monyet
proboscis, 13 buaya muara, lapan beruang Malaya, 50 monyet ekor panjang, 25 rusa
sambar, tiga rusa "barking," ular dan hidupan liar lain.
Projek lain yang dibiayai oleh MPOWCF ialah pengwujudan satu kumpulan
rondaan hutan dan unit penjagaan bayi orang utan, kaji selidik mengenai bilangan
orang utan di Sabah dan bahan pendidikan yang dikeluarkan mengenai pemuliharaan
hidupan liar, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Dr M Kalyana Sundram.
"Kami dituduh merosakkan kawasan hijau oleh NGO alam sekitar Barat kerana
membiayai projek sedemikian."
"Bagaimana pun, niat kami adalah jelas dan kenyataan bahawa melalui usaha
pemuliharaan ini, kami dapat menyelamatkan dan memindahkan bilangan besar haiwan
yang mengalami kesukaran (lebih 100) telah menunjukkan kejayaan dan komitmen
kami terhadap pemuliharaan," kata Sundram.
Antara perkara penting yang perlu ditangani, berikutan peningkatan skop
kerja dan tanggung jawab, ialah untuk menambah bilangan pekerja, peralatan
seperti ubat-ubatan dan bilangan kenderaan untuk melaksanakan operasi yang
diamanahkan dengan segera.
Industri itu bersedia bekerjasama rapat dengan pihak berkepentignan yang
lain bagi melaksanakan usaha pemuliharaan di Sabah dan akur mengenai konflik
manusia hidupan liar yang kemungkinan terhasil yang mendorong kepada hidupan
liar terperangkap di kawasan terpencil dan tersasar ke ladang-ladang dan
kampung, yang terdedak kepada bahaya.
“Pembiayaan MPOC memastikan konflik manusia hidupan liar dapat ditangani
secara positif."
“Akhirnya, program pemuliharaan mengesahkan semula objektif MPOC bahawa
industri minyak sawit Malaysia boleh wujud sebelah menyebelah secara mampan."
kata Dr Yusof.
-- BERNAMA
STP VMD AHM


