Oleh Nomy Nozwir
KUALA LUMPUR, 3 Ogos — MRT Corporation (MRT Corp) hari ini berkata mereka menjaga dan mengkaji bangunan-bangunan warisan di Kuala Lumpur sebelum melakukan projek, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Azhar Abdul Hamid dalam kenyataan medianya hari ini.
Katanya, MRT Corp sudah memaparkan laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) selama tiga bulan sebelum pembinaannya, di beberapa tempat di seluruh Lembah Kelang bagi menunjukkan apa yang berlaku berdasarkan undang-undang Seksyen 86 Akta Pengangkutan Darat 2010.
“Berdasarkan dari pameran kami dari Mac hingga Mei 2011, kami menerima tidak kurang dari 6,000 respon dari orang ramai, dan 91 peratus daripadanya berkata mereka bersetuju dengan projek ini.
“Kami di MRT Corp bertanggungjawab dalam memelihara bangunan-bangunan warisan di Kuala Lumpur.
“Tetapi kita harus membezakan antara bangunan warisan dengan bangunan bersejarah.
“Satu kajian telah dijalankan Jabatan Warisan Negara ke atas kesemua bangunan terlibat, dalam bulan April 2012.
“Kajian itu mendapati kawasan tersebut bukan kawasan warisan, dan bangunan yang dikaji diklasifikasikan sebagai “bangunan lama” dan “bangunan lama diubahsuai”, katanya lagi.
Menurut MRT Corp, mereka menyokong sekiranya ada usaha untuk mewujudkan Kawasan Warisan di kawasan tersebut memandangkan kawasan tersebut adalah kawasan asal Kuala Lumpur.
“MRT Corp mahu membina sebuah terowong di bawah bangunan – bangunan tersebut.
“Terowong ini akan menuju ke Stesen Pasar Seni. Bangunan – bangunan yang sedang dirobohkan sekarang ini bukan bangunan lama.
“Stesen Bas Klang, Plaza Warisan dan Plaza UO dibina sekitar tahun 80-an, dan ada yang tidak lagi mampu menampung keperluan semasa,” kata Dato’ Azhar.
Menurut MRT Corp, hasil daripada semua ini, 18 Prinsip Perjanjian (Points of Agreement: POA) telah ditandatangani.
Dua pemilik hartanah telah bersetuju untuk diambil alih, sementara satu lagi pemilik sedang meneliti POA tersebut.
Hanya 3 pihak, Lok Ann Hotel, KL Gospel Hall dan Yan Keng Benevolent Dramatic Association yang belum menandatangani POA.
“Kami berpendapat jika 18 pemilik hartanah telah meyakini tujuan kami, dan terus berbincang ke arah Perjanjian Bersama (MA), POA ini semestinya adil, “ jelas Azhar, setelah beberapa pihak berpendapat POA tersebut berat sebelah kepada pihak MRT Corp.


