KUALA TERENGGANU, 11 Sept (Bernama) -- Majlis Sukan Negeri Terengganu
(MSNT) mengambil langkah permulaan memperkenalkan sukan Muay Thai atau dikenali
Tomoi di negeri ini bermula awal tahun depan.
Pengarah MSNT Zainal Abidin Hussin berkata sukan tersebut yang popular di
Thailand akan memberi impak yang besar di Terengganu apabila diperkenalkan
nanti.
"Kita sekarang sedang berusaha untuk membawa sukan-sukan baharu yang tidak
ada dalam pasaran ke negeri ini seperti Muay Thai kerana kita pasti sukan ini
memiliki tarikan tersendiri walaupun sudah ada beberapa pertubuhan kecil membawa
Muay Thai ke negeri ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sehubungan itu untuk mencapai matlamat tersebut, MSNT akan mendapatkan
khidmat jurulatih Muay Thai yang berkaliber daripada negara Gajah Putih itu
dengan kerjasama Majlis Sukan Negara.
"Pegawai-pegawai kami (MSNT) akan dihantar ke Thailand dalam masa terdekat
ini untuk meninjau sebelum menemuduga jurulatih yang diperlukan itu," katanya.
Zainal Abidin berkata salah satu daerah yang dilihat berpotensi bagi
perkembangan sukan Muay Thai berkembang di Terengganu ialah di daerah Besut
kerana ia berdekatan dengan Kelantan di mana akan menarik kedatangan peminat
dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
"Sekiranya ia dapat direalisasikan, Besut yang sebelum ini terkenal sebagai
pusat sukan tinju di Terengganu akan berkongsi dengan sukan Muay Thai," katanya.
-- BERNAMA
IB AEO KLS

