KUCHING, 28 Jan (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin yakin rakyat Sarawak akan terus menyokong kerajaan Barisan Nasional dalam
pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti.
Beliau berkata keyakinan tersebut berdasarkan hasil laporan yang diterima
dalam taklimat tertutup persiapan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang
diadakan di sini, malam tadi.
"Saya tidak ragu dan lihat di negeri ini (Sarawak) hubungan rakyat dan
kerajaan BN amat kuat sekali, kita mampu pertahankan kedudukan kita berdasarkan
laporan yang saya terima semalam dari pimpinan di peringkat negeri berkenaan
situasi semasa," katanya dalam ucapan pada majlis santai bersama penduduk
Kampung Sungai Apong Baru di Dewan Masyarakat kampung berkenaan di sini, hari
ini.
Muhyiddin turut meminta kerjasama antara rakyat Sarawak dan kerajaan BN
diperkukuhkan lagi bagi mengekang usaha berterusan pembangkang menyebar dakyah
memburuk-burukkan kerajaan.
"Kita tahu pembangkang akan bawa macam-macam cerita tidak betul dan
memfitnah kerajaan serta pemimpin BN, ini tindakan terdesak mereka lakukan
kerana kita sudah dekat dengan pilihan raya.
"Saya memberi jaminan dengan sokongan rakyat, usaha memajukan negara akan
diteruskan, dan Sarawak akan menjadi antara negeri terpenting dalam usaha
pembangunan tersebut," katanya.
-- BERNAMA
NBA2 NBA2 NH

