Advertisement

Mukhriz mahu tunaikan pesanan Azizan

Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Dr Mahathir berkata pesanan bekas Menteri Besar Tan Sri Azizan Abdul Razak kepadanya supaya menjaga Kedah sebaik mungkin, akan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

"Apabila saya berjalan di merata tempat di DUN Sungai Limau dan berjumpa ramai rakyat yang ada banyak isu berbangkit seperti rumah perlu dibaiki, surau, jalan yang berlopak, maka saya teringat pesanan Allahyaram Tan Sri Azizan, bekas menteri besar dan bekas Adun (Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Limau).

“Beliau pesan kepada saya supaya jaga Kedah baik-baik. Dengan saranan itu maka saya sudah anggap tanggungjawab paling penting sebagai Menteri Besar dan dibantu rakan-rakan Exco untuk selesaikan masalah rakyat satu persatu dalam masa singkat," katanya di Yan.

Katanya bantuan dan sokongan daripada kerajaan Persekutuan membantu beliau untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebaik mungkin.

Mukhriz berkata adalah menjadi harapannya supaya pengundi di DUN Sungai Limau memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) kerana apabila penduduk kawasan itu memilih wakil rakyat daripada BN, ia adalah daripada parti yang sama seperti parti memerintah Kedah dan juga di peringkat Persekutuan.

"Saya yakin semua permasalahan yang mungkin timbul di DUN Sungai Limau akan dapat diselesaikan secepat mungkin. Apabila tuan puan (pengundi) pilih seorang wakil daripada kalangan BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim, yakinlah di belakang beliau adalah saya untuk pastikan sebarang isu berbangkit diberi perhatian sewajarnya.

"Apabila tuan puan (pengundi) pergi pusat mengundi esok bolehlah sekiranya beri peluang kepada kami tunaikan tanggungjawab sebagai kerajaan yang memegang amanah sebaik mungkin," kata Mukhriz (gambar).

Pada PRK DUN Sungai Limau, Ahmad Sohaimi ditentang calon PAS Mohd Azam Abd Samat.

PRK DUN Sungai Limau diadakan berikutan kematian Allahyarham Azizan, daripada PAS, pada 26 Sept lepas. Azizan menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak 1995. - Bernama, November 3, 2013.