Murtabak Awek Banting


Murtabak antara gerai yang sering menyaksikan barisan pelanggan yang panjang untuk membeli pelbagai jenis murtabak seperti daging, ayam dan kambing. Ditambah pula ramai di kalangan peniaga menambah perisa baru dalam murtabak iaitu tambahan keju bagi sesetengah lokasi.

Biasanya penebar doh murtabak seorang lelaki yang laju memusingkan doh itu sehingga tebarannya menjadi besar sebelum memasukkan isi atau intinya.

Ramai yang skeptikal hanya lelaki saja yang mampu menebar dengan baik menjadikannya lebih lazat tetapi di Bazar Ramadan Pekan Banting anda akan menyaksikan 'awek' penebar doh murtabak yang ligat beraksi menjadikannya antara tarikan bazar tersebut.

Biarpun murtabaknya nampak biasa dengan menu pilihan daging atau ayam, rasanya pastilah lain kalau awek yang menebar rotinya! Kombinasi roti dan isi murtabak Banting ini sungguh lazat sehingga menjilat jari ditambah dua jenis kuah turut disediakan iaitu kari ayam dan kuah istimewa murtabak.

Bancuhan tepung gandum yang dicampur telur, susu, marjerin, garam dan air hingga sebati menjadikan kualiti roti murtabak lebih enak dan apabila ia dileperkan sebelum ditebar dan dilipat untuk dijadikan kepingan doh, rotinya sudah lembut dan segar.

Selain murtabak keju, terdapat juga murtabak Maggi yang pasti enak ketika berbuka. Seakan dua rasa dalam satu menu. Murtabak sememangnya makanan popular ketika Ramadan manakala Maggi pun tidak perlulah diceritakan lagi.

Dengan kreativiti Maggi, sedikit kelainan dengan menggunakan produk Mi Maggi pelbagai perisa sebagai bahan utama dalam resipinya.

Hidangan murtabak Maggi biasanya disediakan dengan memasukkan ayam goreng cincang, telur dan bahan lain untuk menambah kelazatannya. Lagi sedap kalau Maggi yang digunakan berperisa kari.