KOTA KINABALU, 30 Julai (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa
Aman hari ini mengumumkan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500
untuk penjawat awam di negeri ini.
Beliau berkata bayaran bonus yang akan dibuat dalam bulan Ogos sebelum
Aidilfitri, memberi manfaat kepada 19,151 penjawat awam dan membabitkan anggaran
kos RM18.178 juta.
Musa juga berkata bonus Raya itu mencerminkan penghargaan kerajaan negeri
terhadap sumbangan penjawat awam dalam pentadbiran kerajaan dan sektor awam.
"Kerajaan negeri turut menghargai peranan yang dimainkan perkhidmatan awam
dalam merancang serta melaksanakan program pembangunan di negeri ini," katanya
dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berharap bonus Raya itu akan membantu penjawat awam dalam persediaan
menyambut Aidilfitri selain mengurangkan beban mereka terutama golongan
berpendapatan rendah.
-- BERNAMA
NT NT SBB

