Oleh Mohd Farhan Darwis
KUALA LUMPUR, 20 Sept – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menafikan beliau telah mengeluarkan surat menggunakan nama parti kepada Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin berhubung pelantikan Prof Madya Dr Mizan Hitam adalah membawa kejayaan kepada Pro Aspirasi berlandaskan Perlembagaan Umno.
Tegas Najib, beliau tidak pernah mengeluarkan surat kepada universiti menggunakan surat parti sebelum ini.
“Saya nafi sekeras-kerasnya, saya tak pernah keluarkan surat parti dalam pelantikan mana-mana anggota universiti ... ia boleh disahkan oleh anggota universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi.
“Ini palsu, dan bukti mereka terdesak,” tegasnya.
Majlis Syura UIA juga hari ini telah membuat laporan polis berhubung penyebaran sepucuk surat berkenaan.
Dipetik Bernama, Majlis itu dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya memandang berat perbuatan pembohongan itu dan telah membuat laporan di Balai Polis Gombak pada pukul 9 pagi ini.
Menurut kenyataan itu, surat palsu berkenaan telah disebarkan dalam kampus dan juga dimuat naik di sesetengah laman blog.
“Pihak universiti ingin menegaskan bahawa pihak Rektor tidak pernah sama sekali menerima surat tersebut daripada Perdana Menteri Malaysia, selaku Presiden Umno.
“Pihak Majlis Syura UIAM menyangkal tohmahan tersebut dan beranggapan bahawa kandungan surat tersebut berunsur fitnah dan satu pembohongan serius yang mempunyai niat jahat,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, pihak majlis syura yakin pembohongan tersebut dilakukan oleh sesetengah pihak yang terdesak, tidak beretika dan mempunyai kaitan dengan pihak pembangkang.
“Ia bertujuan untuk mengeruhkan suasana harmonis dan kedamaian yang wujud dan dikecapi seluruh warga kampus UIAM menjelang pilihan raya kampus yang akan berlangsung pada 25 Sept ini,” tambah kenyataan itu.
Kenyataan itu memberi amaran bahawa tindakan drastik yang berbentuk disiplin dan perundangan jenayah akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyiar, mengedar surat tersebut atau mana-mana individu yang memuat naik surat itu di laman web masing-masing atau di laman blog tertentu.
“Pihak Majlis Syura UIAM sedang menyiasat kes ini dengan penuh teliti termasuk menonton semula rakaman pita tv kawalan keselamatan dan akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” kata kenyataan itu.

