Malaysia Elections 2013

Najib ingatkan ahli dan parti komponen tidak sentuh isu perkauman

Oleh Mohd Farhan Darwis

KUALA LUMPUR, 29 Jun — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengingatkan ahli dan parti komponen Barisan Nasional (BN) supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat pelbagai kaum.

Bercakap kepada pemberita selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Majlis Tertinggi BN di sini, Najib turut menegaskan, ahli parti pemerintah itu juga tidak seharusnya menyentuh isu melibatkan perasaan parti komponen BN yang lain.

“Setiap ahli diingatkan agar tidak menimbulkan sebarang kenyataan yang boleh menyentuh perasaan kaum dan parti komponen BN yang lain,” kata perdana menteri pada sidang media selepas mesyuarat di Ibu Pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Selain itu, Najib yang juga merupakan Pengerusi BN berkata, sokongan rakyat terhadap BN semakin meningkat berdasarkan sambutan terhadap lawatan-lawatan beliau dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin seluruh negara.

“Hasil daripada lawatan-lawatan saya dan Muhyiddin ke negeri-negeri dan daerah menampakkan sokongan yang lebih memberangsangkan.

“Ini menunjukkan tahap sokongan rakyat kepada BN sudah menjadi lebih baik dengan program-program yang dianjurkan kerajaan,” katanya lagi.

Justeru, perdana menteri itu merasakan tahap keyakinan BN untuk memenangi pilihan raya adalah cerah.

“Kita tidak boleh takbur, tapi tahap keyakinan kita jika dinilai dari sambutan dan program yang dijalankan bukanlah berasaskan kepada sesuatu yg menjurus kepada penilaian, sebaliknya kepada keberhasilan melalui program yang dilaksanakan,” katanya merujuk kepada Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilakukan pentadbirannya sejurus beliau mengambil alih pemerintahan pada 2009.

Bagaimanapun, ketika ditanya khabar angin yang mengatakan BN khuatir tewas dan sengaja melambat-lambatkan pilihan raya umum ke-13, Najib menegaskan,”Itu kata pembangkang.”

Beliau turut menambah,” kita dipilih dalam tempoh lima tahun, penting bagi kita melihatkan kemampuan kita dan membela untung nasib rakyat.

“Kalau kita buat terlalu awal, kita memendekkan tempoh. Tidak timbul soal tidak yakin untuk melakukan pilihan raya, yang penting tunjukkan kemampuan kita membela rakyat.”

Memetik laporan media semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad melihat pilihan raya umum ke-13 kali ini akan berdasarkan kaum berbanding kepentingan nasional kerana masyarakat Malaysia semakin hari menjadi semakin rasis.

Bekas perdana menteri yang masih berpengaruh itu menjelaskan BN semakin lemah selepas hilang kuasa dua pertiga Parlimen pada Mac 2008 yang memaksa parti kerajaan itu menyelesaikan kemelut perkauman di negara ini.

“Di negara ini, kita sangat rasis, malah lebih teruk dari dulu. Pilihan raya kali ini semuanya akan bersifat perkauman. Siapa beri apa, siapa dapat apa, semuanya berasaskan perkauman. Bila kerajaan lemah, mereka cuba selesaikan perkara yang bukannya akan memberikan manfaat kepada negara untuk jangka masa panjang,” katanya.

Dr Mahathir turut berkata,”kerajaan hari ini mewarisi apa yang ditinggalkan kerajaan terdahulu yang tidak berapa menyerlah. Akibatnya, kita mempunyai kerajaan yang lemah.”

“Pemimpin yang tua akan diganti dengan pemimpin muda yang berusaha bersungguh-sungguh, namun bukanlah suatu perkara yang mudah. Beliau ditekan dari setiap sudut. Jika beliau lebihkan satu pihak, pihak lain tidak suka. Akibatnya, golongan minoriti akan menguasai,” katanya lagi.

Najib telah mengambil alih pemerintahan pada 2009, setahun selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi mengetuai BN yang menyasikan pilihan raya terburuk dalam sejarah negara, hilang 82 kerusi Parlimen dan lima negeri.

Pada Mac, Abdullah yang dilantik Dr Mahathir menggantikan beliau, turut berkata perkauman akan menjadi isu dalam pilihan raya umum ke-13 kali ini.

“Kita terlalu menitikberatkan kaum. Kerana ada kemungkinan untuk sesetengah pihak untuk menggunakannya sebagai isu, sebagai cara mendapatkan sokongan dan menimbulkan masalah kepada kita,” kata Ahli parlimen Kepala batas itu dalam temuramah video bersama Bloomberg.

Bagaimanapun, beliau menambah, “pengajaran yang kita boleh ambil dan kebanyakannya tidak dipersetujui adalah walaupun kita tidak memenangi dua pertiga kerusi, bukan bermakna kita lemah.”

Najib yang mengambil alih pemerintahan selepas Abdullah dilihat berusaha menaikkan imej BN dalam pilihan raya akan datang.

Pemerhati melihat beliau memerlukan peningkatan dengan 140 kerusi dan menawan kembali sebahagian negeri yang tewas kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk memastikan beliau kekal berkuasa.

MORE ELECTION STORIES

Loading...

Comments on Yahoo! pages are subject to our link to Comments Guidelines. You are responsible for any content that you post. Yahoo! is not responsible or liable in any way for comments posted by its users. Yahoo! does not in any way endorse or support comments made by its users.

PARLIAMENT SEATS: FINAL TALLY

                                                   
PARLIAMENT
BNPROthers
   
133890
   
222 seats total, 112 to win, 148 for two-thirds