Advertisement

Najib lega selepas bertemu Dr Mahathir

Oleh The Malaysian Insider

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (gambar kiri) berada dalam keadaan tidak menentu selepas mengetuai kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 5 Mei tanpa mencapai sasaran yang beliau sendiri tetapkan: merampas kembali majoriti tradisi dua pertiga di Parlimen.

Terdapat beberapa sesi untuk meredakan kemarahan ahli-ahli Parlimen tidak berpuas hati: berjanji kepada ahli-ahli politik Umno yang mahu dilantik sebagai ahli lembaga pengarah syarikat berkait kerajaan (GLC) dan memantau komen dari tokoh berpengaruh seperti Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar kanan) dan laporan mengenai Tengku Razaleigh Hamzah – boleh menjadi pencabar berpotensi.

Kesimpulannya, ini adalah waktu mencabar bagi Najib.

Akan tetapi Isnin lalu merupakan hari baik bagi perdana menteri.

Dr Mahathir bertemu Najib dan memberi jaminan beliau percaya tidak perlu ada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi Umno dalam pemilihan parti itu akhir tahun ini.

Jaminan itu hadir selepas bekas perdana menteri itu memberitahu sekumpulan pengurus dana dalam satu sesi tertutup di Kuala Lumpur Jumaat lalu mengenai perlunya pertandingan bagi jawatan tertinggi Umno.

Tidak pernah ada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi itu semenjak Umno asal diisytiharkan haram pada 1988 dan Dr Mahathir menubuhkan Umno baru.

Sumber dalaman memberitahu The Malaysian Insider Dr Mahathir percaya komen beliau kepada pengurus-pengurus dana telah disalah anggap.

Akan tetapi mereka yang hadir pada sesi di sebuah hotel di Kuala Lumpur mengatakan Dr Mahathir mengkritik pimpinan dan percaya pertandingan akan menonjolkan ciri-ciri demokratik Umno selain dari meningkatkan imej Najib di mata orang ramai.

Masih belum jelas apa yang menyebabkan Dr Mahathir mengubah pendiriannya mengenai pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu.

Secara rasminya, beliau mengatakan pertandingan boleh memecahbelahkan Umno dan menambah di Malaysia, terdapat trend di mana yang kalah tidak boleh menerima keputusan sesuatu pilihan raya itu.

Disebalik sokongan Dr Mahathir agar tiada pertandingan dua jawatan tertinggi, penentu sama ada Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menang tanpa bertanding adalah mesyuarat bahagian-bahagian Umno dan kejayaan Putrajaya menguruskan dua kumpulan ini: ahli-ahli Parlimen Umno - tidak diberikan jawatan Kabinet dan ketua-ketua bahagian Umno yang tidak diletakan sebagai calon pada pilihan raya umum lalu.

Lebih kurang 145,000 daripada 3.5 juta ahli akan mengundi secara langsung bagi semua jawatan dalam pemilihan parti tahun ini, di bawah peraturan baru yang digunakan untuk memastikan rasuah tidak mengganggu keputusan.

Majlis tertinggi parti telah bersetuju bulan lepas tiada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi akan tetapi beberapa pemimpin kanan mengatakan pertandingan untuk semua jawatan akan menunjukkan Umno lebih demokratik. – 19 Jun, 2013.