KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak malam ini menasihatkan pelajar Malaysia di luar negara agar belajar
bersungguh-sungguh dan menguruskan diri dengan baik supaya dapat membuat
sumbangan kepada kejayaan negara.
"Teman pelajar saya di luar negara, anda adalah duta kecil negara. Belajar
bersungguh-sungguh dan mengurus dirimu dengan baik untuk membantu negara anda
berjaya," twit beliau pada pukul 10.30 malam ini.
Pada 1 Syawal Ahad lalu, Najib turut menyampaikan mesej yang sama semasa
mengadakan sidang televideo secara serentak dengan pelajar dan duta Malaysia di
lima negara di Seri Perdana, Putrajaya.
Sidang televideo selama 45 minit itu diadakan sempena sambutan Hari Raya
Aidilfitri, bersama perwakilan dari Jakarta (Indonesia), Canberra (Australia),
London (United Kingdom), Beijing (China) dan Tokyo (Jepun).
-- BERNAMA
CS NAK DC

