Oleh Md Izwan
KUALA LUMPUR, 25 Jan — Datuk Seri Najib Razak tidak menolak pemecatan bekas presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa daripada Majlis Syura mempunyai kaitan dengan lawatan bersamanya ke Palestin baru-baru ini.
Menurut Najib, keputusan tersebut yang diumumkan sejurus selepas kepulangan dari Gaza mengukuhkan lagi persepsi terhadap dakwaan tersebut.
“Waktu pengumuman pemecatan beliau (Nasharuddin) setelah kembali ke tanahair selepas ke Gaza memberi persepsi ianya ada kaitan dengan lawatan tersebut,” kata perdana menteri dalam satu sidang media petang ini
Najib juga menyifatkan alasan PAS yang mengatakan pemecatan tersebut dilakukan selepas menimbang semua perkara juga tidak munasabah dan menambah langkah tersebut adalah hanya kerana Nasharuddin berbeza pendapat dengan parti Islam tersebut.
“Nasha adalah seorang yang percaya kepada kesatuan dan penyatuan ummah.
“Dia pentingkan kepada perpaduan mewujudkan satu ummah, ini pendirian dia,” tambah Najib lagi.
Selain itu, Najib juga melahirkan rasa simpatinya ke atas Nasharuddin walaupun usahanya selama ini adalah bertujuan untuk kebaikan semua pihak tetapi disalahtafsir oleh pembangkang yang hanya mementingkan kuasa.
“Nampaknya dia telah diambil tindakan walaupun dia mempunyai niat yang murni.
“Dalam perjumpaan dengan saya dia tidak mengutuk mana-mana pihak,” terang Najib merujuk kepada Nasharuddin yang mengiringinya ke Gaza baru-baru ini dalam misi kemanusiaan.
MENYUSUL LAGI


