Najib pertahan Bank Negara pendek tempoh pinjaman, tegas rakyat perlu urus kewangan ikut kemampuan

Better management of security resources needed in EssZone, says Najib

Datuk Seri Mohd Najib Razak mempertahankan langkah kontroversi Bank Negara Malaysia (BNM) memendekkan tempoh pinjaman, menegaskan rakyat Malaysia perlu menguruskan kewangan mengikut kemampuan.

Najib (gambar) yang juga menteri kewangan, semasa berucap di Forum Alliance for Financial Inclusion (AFI) kali kelima di ibu kota, berkata misi kerajaan adalah bagi memastikan kefahaman kepada rakyat dalam melibatkan pengurusan kewangan.

"Misi kami adalah untuk melengkapkan semua rakyat Malaysia dengan kefahaman asas dalam pengurusan kewangan.

"Memberi mereka faham dan peluang untuk mengukuhkan kedudukan kewangan mereka," kata Najib.

Perdana Menteri juga berkata langkah tersebut juga bagi memastikan rakyat menguruskan kewangan berdasarkan kemampuan mereka dan tidak berlebihan.

"Hal ini kerana sesetengah orang hidup lebih daripada kemampuan mereka," kata Najib lagi.

BNM menerima kritikan ekoran langkah menetapkan tempoh pinjaman peribadi maksimum dihadkan selama 10 tahun, manakala pinjaman pembelian rumah kepada hanya 35 tahun pada 5 Julai lalu.

Langkah tersebut menerima kritikan hebat daripada kesatuan kerja kerana BNM tidak berbincang dengan mereka terlebih dahulu, malah semalam Najib juga telah dilaporkan bertemu Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di Putrajaya bagi membincangkan isu tersebut.

Menurut Najib lagi, usaha ke arah tersebut perlu dilakukan menerusi pendidikan dan juga langkah yang akan diambil oleh pengawal selia kewangan negara BNM.

"Untuk merealisasikan matmalat ini memerlukan kebertanggungjawaban bersama.

"Menerusi kerajaan dengan pendidikan dan pembangunan polisi, menerusi kerangka kawal selia memudahkan dan tahap perlindungan pengguna yang kuat," katanya lagi.

BNM semasa memperkenalkan langkah memperketatkan tersebut memberi alasan ia bertujuan untuk mengelakkan hutang isi rumah berlebihan dan memperkukuh amalan pemberian pinjaman bertanggungjawab oleh pemberi kredit utama.

Menurut BNM, pada Mac tahun ini, nisbah hutang isi rumah berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK) di Malaysia berkembang sebanyak 13 peratus kepada 83 peratus daripada 70 peratus pada 2009, paras tertinggi bagi negara membangun di Asia.

Hutang isi rumah berbanding KDNK di negara membangun lain Asia, Thailand berada pada 30 peratus; Indonesia (15.8 peratus); Hong Kong (58 peratus); Taiwan (82 peratus); Jepun (75 peratus) dan Singapura (67 peratus).

Negara yang mempunyai hutang isi rumah tinggi berbanding KDNK ialah Amerika Syarikat pada 91.7 peratus; Australia (113 peratus); New Zealand (91 peratus); United Kindom (114 peratus) dan Korea Selatan (91 peratus). – 12 September, 2013.